PCG catat pendapatan RM7.66b pada suku pertama - Utusan Malaysia

PCG catat pendapatan RM7.66b pada suku pertama

PCG catat pendapatan suku pertama lebih tinggi berbanding setahun lalu namun merekoidkan rugi bersih RM18 juta pada suku pertama 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan pendapatan sebanyak RM7.66 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 daripada RM7.49 bilion yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya, di sebalik pasaran kimia yang semakin mencabar.

PCG berkata, pendapatan meningkat sebanyak tiga peratus suku ke suku, dipacu oleh harga purata yang lebih tinggi bagi urea, metanol dan polietilena serta prestasi jualan yang lebih baik dalam segmen kimia khusus.

Walau bagaimanapun, PCG mencatatkan rugi bersih RM18 juta bagi suku dikaji berbanding keuntungan bersih RM668 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Katanya, kumpulan mengekalkan prestasi operasi yang kukuh dengan kadar penggunaan loji sebanyak 94 peratus pada suku pertama 2025, hampir setara pada suku keempat 2024.

“Sepanjang suku ini, segmen olefin dan derivatif (O&D) berjaya mengatasi gangguan bekalan utiliti yang menjejaskan beberapa loji di Kertih, serta pengurangan pengeluaran di Pengerang Petrochemicals Company Sdn. Bhd. (PPC) akibat kekurangan stok suapan.

“Gabungan isu-isu luaran ini dengan kenaikan harga produk yang terhad di tengah-tengah lebihan bekalan industri, menyebabkan pendapatan sukuan bahagian O&D menurun empat peratus kepada RM3.5 bilion.

“Bahagian ini mencatatkan kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) sebanyak RM43 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada PPC akibat pengurangan kadar penggunaan loji serta kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasi daripada penilaian semula pemiutang

“Segmen baja dan metanol (F&M) kumpulan mencatatkan peningkatan keseluruhan dalam jualan dan pendapatan, disokong oleh harga purata produk yang lebih kukuh walaupun terdapat sedikit penurunan jumlah jualan,” menurut kenyataan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, ketahanan kumpulan dalam mengharungi keadaan pasaran yang mencabar membuktikan kekuatan kepelbagaian portfolio.

Mengulas implikasi tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap PCG, beliau berkata, syarikat sedang memantau keadaan ini dengan teliti dan menilai kesan yang lebih luas terhadap keseluruhan pergerakan pasaran.

“Bagi mengekalkan ketahanan dan daya saing dalam kemerosotan industri semasa, kami terus menumpukan untuk memacu kecemerlangan.

“Komitmen kami terhadap keselamatan dan kecekapan operasi semua fasiliti kami akan diteruskan dengan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di beberapa loji O&D serta F&M yang sedang giat dijalankan.

“Pada masa yang sama, kami memperkukuh hubungan pelanggan untuk memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang, di samping mengekalkan disiplin kewangan yang ketat serta perbelanjaan modal yang berhemat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN