Paradigm REIT sasar kumpul RM560j menerusi IPO Pasaran Utama

Paradigm REIT sasar kumpul RM560j menerusi IPO Pasaran Utama

SHAHRIL Ridza Ridzuan (tengah) bersama wakil syarikat semasa pelancaran prospektus Paradigm REIT di sini, semalam. UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT), syarikat amanah pelaburan hartanah tempatan menyasarkan untuk mengumpul sejumlah RM560 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Paradigm kini menerima permohonan untuk tawaran runcit dan institusi bagi IPO berharga RM1 sesaham itu sehingga 23 Mei.

Harga akhir akan ditetapkan pada 27 Mei, dengan penyenaraian dijadualkan pada 10 Jun.

IPO tidak melibatkan pengeluaran unit baharu dan keseluruhan kutipan kasar akan disalurkan kepada WCT Holdings Bhd selaku penaja REIT.

Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebasnya, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, pelancaran prospektus ini menandakan permulaan baharu dalam perjalanan pertumbuhan syarikat.

Ujarnya, dengan portfolio hartanah runcit utama, syarikat berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan kekukuhan ekonomi Malaysia dan trend pengguna yang dinamik.

“Dengan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia, kami berharap untuk meningkatkan keterlihatan jenama dan menawarkan pilihan pelaburan menarik kepada pelabur runcit dan institusi. Ini hanyalah permulaan dan kami teruja dengan masa depan serta peluang yang menanti,” katanya semasa pelancaran prospektus syarikat itu di sini semalam.

Hasil daripada IPO akan digunakan bagi membiayai pembelian hartanah baharu pada masa hadapan.

Mengulas mengenai strategi perniagaan bagi mengekalkan daya saing Paradigm REIT, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Chua Kah Noi Selena berkata, ketiga-tiga hartanah dalam portfolio REIT tersebut sangat berorientasikan komuniti sekali gus membezakannya daripada kebanyakan REIT lain di pasaran.

Menurutnya, Paradigm REIT memiliki sebuah hartanah yang sangat besar di Johor Bahru berkeluasan kira-kira 3 juta kaki persegi, yang menjadi antara faktor utama pertumbuhan masa hadapan memandangkan kawasan tersebut sedang pesat membangun.

“Dari segi REIT, kami mungkin satu-satunya yang memiliki projek sebesar dan sebaik ini di Johor Bahru. Projek ini terus berkembang dan masih mempunyai potensi besar untuk terus maju, terutamanya disebabkan oleh aliran trafik yang tinggi dari Singapura.

“Jenis barangan yang dijual di pusat beli-belah kami juga merupakan barangan keperluan harian yang sentiasa diperlukan tanpa mengira keadaan.

“Dengan kos sara hidup yang lebih tinggi di Singapura, semakin ramai warga Singapura datang membeli-belah di pusat beli-belah kami, dan mereka juga membeli dalam kuantiti yang lebih besar. Jadi, potensi pertumbuhan di sini adalah sangat baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN