PETALING JAYA: Maxim Malaysia yang sebelum ini diarah henti operasi kerana didakwa beroperasi secara haram sedang dalam proses perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut kenyataan, syarikat itu masih beroperasi seperti biasa di seluruh negara dan akan terus mematuhi semua undang-undang selain bekerjasama erat dengan kerajaan demi kepentingan semua pihak.
“Perbincangan memberi keutamaan kepada penyelesaian segera tanpa menjejaskan reputasi serta kepercayaan pengguna, rakan kongsi, vendor dan pihak berkepentingan lain yang telah dibina sejak lima tahun lalu.
“Keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan kami sejak mula beroperasi di Malaysia.
“Apabila pengguna memilih aplikasi Maxim, kami mahu mereka berasa selesa dan yakin terhadap sistem serta perkhidmatan yang ditawarkan,” demikian menurut kenyataan.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Rusia, InDrive dan Maxim yang didakwa beroperasi secara haram menghentikan perkhidmatannya berkuat kuasa 24 Julai ini.
Sebagai pemegang lesen perantaraan, Maxim Malaysia berkata, pihaknya menawarkan platform teknologi yang menghubungkan pengguna dengan pemandu rakan kongsi serta penyedia perkhidmatan lain.
“Setiap pendaftaran pemandu juga melalui saringan ketat oleh pegawai terlatih untuk memastikan pematuhan kepada garis panduan ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan MOT.
“Prosedur pemeriksaan menyeluruh yang dilaksanakan merupakan komitmen kepada ketelusan dan keselamatan awam.
“Sejak beroperasi, Maxim Malaysia telah memberi impak positif kepada ekonomi dan masyarakat tempatan. Kami juga bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh negara untuk mempercepatkan proses mendapatkan lesen PSV bagi pemandu baharu,” ujarnya.
Dalam masa sama, syarikat itu berkata, kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut dijalankan bagi memastikan pemandu memahami peraturan dan garis panduan lalu lintas negara.
“Kami turut menekankan komitmennya terhadap ekonomi inklusif menerusi ciri mesra orang kelaianan upaya (OKU) dalam aplikasinya, yang membolehkan golongan berkeperluan khas menikmati perkhidmatan dengan lebih mudah.
“Platform kami menyokong pelbagai penyedia perkhidmatan untuk menjana pendapatan dan membantu kestabilan kewangan keluarga masing-masing.
“Kami juga terus melabur dalam pembangunan teknologi maklumat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya. – UTUSAN