PETALING JAYA: Maxim Malaysia sedang berbincang secara aktif bersama pihak berkuasa berkaitan bagi menyelesaikan isu yang timbul baru-baru ini dan masih beroperasi seperti biasa di seluruh negara.
Menurut kenyataan, syarikat itu akan terus mematuhi semua undang-undang dan bekerjasama erat dengan kerajaan dalam apa jua isu yang timbul demi kepentingan semua pihak.
“Perbincangan yang sedang berlangsung memberi keutamaan kepada penyelesaian segera tanpa menjejaskan reputasi serta kepercayaan pengguna, rakan kongsi, vendor dan pihak berkepentingan lain yang telah dibina sejak lima tahun lalu.
“Keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan kami sejak mula beroperasi di Malaysia.
“Apabila pengguna memilih aplikasi Maxim, kami mahu mereka berasa selesa dan yakin terhadap sistem serta perkhidmatan yang ditawarkan,” demikian menurut kenyataan.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan dilaporkan membuat keputusan mengarahkan dua aplikasi e-hailing dari Russia, InDrive dan Maxim yang didakwa beroperasi secara haram menghentikan perkhidmatannya berkuat kuasa 24 Julai ini.
Sebagai pemegang lesen perantaraan, Maxim Malaysia menawarkan platform teknologi yang menghubungkan pengguna dengan pemandu rakan kongsi serta penyedia perkhidmatan lain.
“Setiap pendaftaran pemandu juga melalui saringan ketat oleh pegawai terlatih untuk memastikan pematuhan kepada garis panduan ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Prosedur pemeriksaan menyeluruh yang dilaksanakan merupakan komitmen kepada ketelusan dan keselamatan awam.
“Sejak beroperasi, Maxim Malaysia telah memberi impak positif kepada ekonomi dan masyarakat tempatan. Kami juga bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh negara untuk mempercepatkan proses mendapatkan lesen PSV bagi pemandu baharu,” ujarnya.
Dalam masa sama, syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing itu berkata, kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut dijalankan bagi memastikan pemandu memahami peraturan dan garis panduan lalu lintas negara.
Maxim Malaysia turut menekankan komitmennya terhadap ekonomi inklusif menerusi ciri mesra OKU dalam aplikasinya, yang membolehkan golongan berkeperluan khas menikmati perkhidmatan dengan lebih mudah.
“Platform kami menyokong pelbagai penyedia perkhidmatan untuk menjana pendapatan dan membantu kestabilan kewangan keluarga masing-masing.
“Kami juga terus melabur dalam pembangunan teknologi maklumat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya. – UTUSAN