Mavcom naik taraf papan pemuka prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang - Utusan Malaysia

Mavcom naik taraf papan pemuka prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang

SARIPUDDIN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melancarkan Papan Pemuka Prestasi Syarikat Penerbangan dan Lapangan Terbang yang ditambah baik, bertujuan menyediakan analisis yang lebih menyeluruh dan terperinci.

Penambahbaikan ini memberikan analisis kepada orang awam dan pihak berkepentingan industri mengenai prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang di seluruh Malaysia.

Papan pemuka yang ditambah baik yang tersedia di laman web rasmi MAVCOM (www.mavcom.my) ini memperkenalkan ciri-ciri baharu dan skop data prestasi yang lebih luas, merangkumi operasi syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa di Malaysia.

Ia memaparkan metrik mengenai prestasi tepat masa (OTP), pembatalan penerbangan, pelbagai jenis dan sebab kelewatan serta pembatalan penerbangan, selain prestasi lapangan terbang yang sejajar dengan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pelancaran papan pemuka yang dipertingkat ini menandakan satu langkah penting ke arah mempromosikan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam industri penerbangan di Malaysia.

Katanya, ia mempertingkatkan keupayaan untuk menjejak, menganalisis dan memantau keterlihatan prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

“Papan pemuka ini menawarkan gambaran prestasi industri yang menyeluruh dan interaktif, membolehkan pengguna menyesuaikan dan mengakses data spesifik yang diperlukan dengan mudah.

“Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri, seperti syarikat penerbangan dan lapangan terbang dengan menyediakan indikator prestasi yang jelas untuk meningkatkan tahap perkhidmatan mereka.

“Malah ia turut memperkasa pengguna penerbangan untuk membuat pilihan yang lebih termaklum ketika memilih syarikat penerbangan pilihan mere,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, matlamat utama Mavcom adalah untuk memupuk budaya akauntabiliti yang lebih tinggi dalam kalangan pengendali penerbangan.

“Dengan memanfaatkan alat berasaskan data ini, Mavcom berhasrat untuk meningkatkan piawaian perkhidmatan dan mendorong penambahbaikan berterusan dalam sektor penerbangan Malaysia,” ujarnya.

Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan di Malaysia, Mavcom memantau OTP bagi penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Malaysia.

Ini termasuk AirAsia, AirAsia X, Batik Air, Firefly, Malaysia Airlines dan MASwings.

Mavcom berkata, syarikat penerbangan dikehendaki memastikan sekurang-kurangnya 85 peratus daripada penerbangan mereka setiap bulan berlepas dalam tempoh 15 minit dari Waktu Pelepasan yang Dijadualkan (STD).

“Papan pemuka interaktif yang baharu dilancarkan ini kini menyediakan data yang lebih terperinci untuk pengguna penerbangan dan pihak berkepentingan.

“Penambahbaikan utama termasuk keupayaan pengguna penerbangan untuk mengakses data OTP dan pembatalan penerbangan bagi penerbangan yang berlepas dari pelbagai lapangan terbang di seluruh negara, melangkaui tumpuan sebelum ini yang hanya merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 dan Terminal 2 (KUL T1 dan T2),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya