Malakoff terbit Sukuk Murabahah Kemampanan ASEAN bernilai RM250 juta - Utusan Malaysia

Malakoff terbit Sukuk Murabahah Kemampanan ASEAN bernilai RM250 juta

malakoff
ANWAR SYAHRIN ABDUL AJIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), melalui anak syarikat milik penuhnya, Malakoff Power Berhad (MPower) menerbitkan Sukuk Murabahah SRI Kemampanan ASEAN sulungnya bernilai RM250 juta di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) bernilai RM1.2 bilion.

Ia merupakan penawaran kelestarian pertama Malakoff di bawah Sukuk Murabahah ASEAN Sustainability SRI dan yang pertama oleh pengeluar tenaga bebas di Malaysia.

Hasil daripada terbitan ini akan digunakan untuk membiayai projek-projek yang bersesuaian oleh MPower, Malakoff serta anak-anak syarikatnya, selaras dengan Kerangka Kewangan Lestari Malakoff yang telah diwujudkan sejak Disember 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, transaksi itu merupakan satu pencapaian penting kerana merupakan terbitan pertama Sukuk Murabahah ASEAN Sustainability SRI kumpulan menerusi proses pembinaan buku di bawah program IMTN.

“Memandangkan terbitan Sukuk awam terakhir MPower adalah pada Disember 2013, kami amat teruja dengan permintaan yang kukuh daripada para pelabur yang pelbagai untuk terbit ini yang telah menetapkan penanda aras harga baharu bagi MPower.

“Malakoff akan terus memperluaskan portfolio aset melalui perkongsian strategik dan inisiatif ekonomi kitaran.

“Sebagai rakan kongsi dipercayai dalam peralihan hijau Malaysia, kami kekal fokus memperkukuhkan keupayaan, meningkatkan kecekapan dan menyampaikan nilai jangka panjang dalam landskap tenaga yang sentiasa berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) bertindak sebagai Pengurus Utama Tunggal dan Ejen Kemudahan serta Penasihat Struktur Kelestarian bagi Kerangka Kewangan Lestari, manakala Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai Penasihat Syariah bagi Terbitan ini.

Dalam pada itu, Malakoff turut mencatatkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 3.7 peratus dari tahun ke tahun yang turut disumbangkan oleh pengurangan 17 peratus pelepasan Skop 2 berkaitan penggunaan elektrik kumpulan.

Kumpulan itu turut melancarkan Projek Perintis Pembakaran Bersama Biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin berkapasiti 2,100 megawatt (MW) untuk ujian percubaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Projek ini telah mencapai nisbah pembakaran bersama biojisim sebanyak dua peratus dan komited meningkatkan nisbah ini kepada 15 peratus menjelang 2027, serta dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO) sebanyak kira-kira 755,000 tan setahun, bersamaan dengan serapan karbon oleh 142 juta pokok matang.

Selain itu, Malakoff turut terus memperluas portfolio tenaga boleh diperbaharui (TBB) dengan mencapai kapasiti TBB keseluruhan sebanyak 173 MW peningkatan 496.6 peratus berbanding asas 2021.

Ini merangkumi 17.4 MWp pemasangan solar komersial dan industri yang telah siap serta pengambilalihan pegangan ekuiti dalam ZEC Solar Sdn. Bhd. (51 peratus) dan TJZ Suria Sdn. Bhd. (49 peratus) yang menyumbang tambahan 29 MW.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya