PETALING JAYA: Inisiatif KK Super Mart mewujudkan bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu serta memperkenalkan konsep ‘KK Unmanned Store,’ inovasi baharu dalam runcit tanpa juruwang mendapat penghargaan Ketua Polis Kuala Lumpur.
Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lawatan ke kedua-dua fasiliti berteraskan teknologi dan kawalan keselamatan pintar itu memberi gambaran jelas bagaimana transformasi digital boleh membantu mengurangkan insiden jenayah serta meningkatkan kecekapan operasi.
“Kejayaan dalam pencegahan jenayah memerlukan kerjasama semua pihak. Komitmen sektor peruncitan seperti KK Super Mart dalam memperkukuh sistem keselamatan mereka sangat kami hargai.
“Ini bukan hanya melindungi perniagaan, tetapi juga pelanggan dan komuniti secara keseluruhan,” katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Operasi Keselamatan Menara KK di Sungai Besi, dekat sini.
Pihak pengurusan tertinggi KK Super Mart antaranya Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. KK Chai; Pengurus Besar, Tee Kok Hiem dan Penasihat Korporat, Muhamad Haikal Daniel Khairil Abidin turut memberikan kerjasama penuh dalam program tersebut.
Program komuniti itu mencerminkan sinergi yang kukuh di antara pihak polis dan sektor swasta dalam menjayakan agenda keselamatan negara.
Kehadiran Polis KL juga membuktikan komitmen berterusan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam membendung jenayah melalui pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan. – UTUSAN