Industri gesa rundingan tarif dilaksana secara strategik dan berhati-hati - Utusan Malaysia

Industri gesa rundingan tarif dilaksana secara strategik dan berhati-hati

MALAYSIA yang merupakan salah satu negara pengeluar dan pengeksport utama dalam industri elektronik, automotif dan komoditi, akan berdepan dengan peningkatan kos pengeluaran apabila harga bahan mentah dan komponen import meningkat akibat tarif AS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain industri menggesa kerajaan merangka strategi menyeluruh dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif balas terhadap eksport Malaysia, sambil mengingatkan bahawa risiko kegagalan masih wujud sekiranya persiapan tidak dilakukan secara teliti.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, terdapat kemungkinan untuk AS menurunkan tarif terhadap Malaysia, namun ia bergantung sepenuhnya kepada keupayaan Malaysia untuk merundingkan kedua-dua aspek tarif dan halangan bukan tarif dengan rakan dagang itu.

“Malaysia bercadang mengetatkan kawalan dengan memeterai Perjanjian Perlindungan Teknologi serta memperkukuh kawalan terhadap penentuan asal negara.

“Malaysia juga merupakan hab strategik semikonduktor global yang telah lama menyokong syarikat-syarikat AS. Sokongan ini akan terus relevan dan diperlukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah beliau, rundingan perlu disertai dengan persiapan rapi kerana hasilnya akan memberi kesan besar kepada daya saing negara.

“Kami mengharapkan rundingan ini berjaya. Namun begitu, seperti biasa, kita harus sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sementara rundingan berjalan, syarikat-syarikat tempatan perlu meningkatkan daya saing global agar terus menjadi pilihan pelanggan.

Pada masa sama, beliau juga menyarankan kerajaan memperbaiki aspek kemudahan perniagaan bagi menyokong daya saing industri.

“Syarikat harus menyemak semula rantaian bekalan dan mencari alternatif untuk menyesuaikan diri dengan sekatan dari AS. Mereka juga perlu lebih dekat dengan pelanggan bagi memahami keperluan dan kebimbangan semasa.

“Kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan Dasar Semikonduktor Negara (NSS) agar Malaysia dapat naik ke rantaian nilai yang lebih tinggi dan memperkukuh keseluruhan ekosistem semikonduktor negara,” ujarnya.

Siew Hai turut menyarankan supaya penerokaan pasaran baharu dijadikan amalan tetap oleh syarikat kerana ia mengambil masa dan usaha sebelum membuahkan hasil.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, walaupun rundingan ini masih berada di peringkat awal tanpa sebarang persetujuan muktamad, komitmen kedua-dua pihak untuk terus berdialog merupakan petanda positif.

Beliau berkata, MEF menggesa kerajaan agar terus berperanan aktif dalam memastikan rundingan ini membawa hasil yang dapat membantu kelangsungan sektor swasta dan pekerjaan di Malaysia.

“Dengan pendekatan diplomatik yang strategik serta komunikasi telus kepada pihak AS berkenaan komitmen Malaysia terhadap perdagangan yang adil dan bertanggungjawab, peluang untuk penurunan tarif itu memang wujud.

“Kami menyeru kementerian berkaitan dan pemain industri untuk menyokong penuh usaha kerajaan bagi memastikan kepentingan ekonomi dan pekerjaan rakyat Malaysia dilindungi,” katanya.

Menurut beliau, keyakinan industri boleh diperkuat melalui penjelasan berkala daripada kerajaan tentang hala tuju rundingan dengan AS.

“MEF juga mencadangkan agar taklimat tertutup diadakan kepada sektor yang terkesan secara langsung supaya mereka dapat merancang strategi perniagaan yang selari dengan perkembangan semasa.

“Di samping itu, satu platform komunikasi dua hala perlu diwujudkan antara kerajaan dan sektor swasta bagi membolehkan pandangan industri diambil kira dalam proses rundingan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Khas Dewan Rakyat memaklumkan AS berkemungkinan menurunkan tarif timbal balas sebanyak 24 peratus ke atas barangan dari Malaysia, namun rundingan tersebut masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya