PETALING JAYA: Gading Kencana Sdn. Bhd., salah sebuah syarikat peneraju dalam industri tenaga solar di Malaysia terus memperkukuh operasinya dengan mengintegrasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) berasaskan deep learning dalam pengurusan ladang solar mereka.
Melalui kerjasama strategik dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Gading Kencana sedang membangunkan model forecasting tempatan yang sesuai dengan iklim tropika Malaysia.
Pengarah Urusannya, Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, model itu menggunakan algoritma AI untuk menganalisis data cuaca dan prestasi ladang secara masa nyata.
“Ini membolehkan pengoptimuman penjanaan tenaga secara berterusan.
“Deep learning ialah cabang lanjutan AI yang mampu memproses data kompleks seperti suhu, kelembapan, radiasi suria dan prestasi operasi untuk mengenal pasti corak serta membuat ramalan tepat bagi output tenaga di bawah pelbagai kondisi cuaca,” katanya dalam kenyataan.
Guntor memberitahu, inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan ladang solar, malah menyumbang ke arah sasaran pelepasan karbon sifar bersih negara menjelang 2050.
“Ramalan solar ini amat penting bagi kami sebagai pelabur kerana ia memberikan ramalan tenaga yang tepat untuk merancang pulangan pelaburan dan aliran tunai.
“Ia juga membantu dari sudut perancangan grid dan penyelenggaraan, bagi mengelakkan gangguan serta mengurangkan kos operasi,” katanya.
Dengan pendekatan berteraskan teknologi pintar itu katanya, Gading Kencana terus memacu pembangunan tenaga boleh baharu negara, di samping memperkasa keupayaan tempatan dalambidang teknologi hijau dan data raya. – UTUSAN