Energy Asia 2025 pemangkin utama peralihan tenaga di Asia - Utusan Malaysia

Energy Asia 2025 pemangkin utama peralihan tenaga di Asia

NORAFIZAL Mat Saad (enam dari kiri) dan Datin Arni Laily Anwarrudin (kiri sekali) dalam forum sempena sesi Lunch Escape Road to Energy Asia di sini semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Forum Energy Asia 2025 anjuran Petronas yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun depan dijangka menjadi pemangkin utama dalam mempercepatkan peralihan tenaga di Asia. 

Forum bertemakan Merealisasikan Peralihan Tenaga Asia itu turut dianjurkan dengan kerjasama CERAWeek, S&P Global bagi menyelaras hala tuju strategik tenaga serantau selain merangsang pelaburan dan kerjasama rentas industri.

Naib Presiden, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Ir Norafizal Mat Saad berkata, forum itu akan mengetengahkan 50 sesi dialog strategik meliputi tujuh tema utama termasuk ekonomi dan geopolitik, pasaran tenaga, inovasi teknologi serta kelestarian.

“Asia adalah rantau paling pesat berkembang dan menyumbang kepada lebih separuh daripada populasi serta pelepasan gas rumah kaca dunia. 

“Maka, kejayaan Asia mencapai matlamat sifar bersih adalah penting untuk kejayaan global,” katanya dalam ucapan sempena sesi Lunch Escape Road to Energy Asia di sini semalam.

Forum yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dijangka menghimpunkan seramai 180 penceramah bertaraf antarabangsa dan lebih 4,000 delegasi dari lebih 50 negara di Kuala Lumpur, menjadikannya antara persidangan tenaga paling berprestij di rantau ini.

Program itu dijangka menjadi platform penting untuk memacu perbincangan, kerjasama dan penyelesaian konkrit ke arah masa depan tenaga yang lebih lestari dan inklusif di Asia.

Mengulas mengenai kelainan pada kali ini, Pengurus Besar Kanan, Energy Asia dan Strategi, Datin Arni Laily Anwarrudin berkata, Taman Tenaga atau Energy Park turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada forum berkenaan akan menjadi pusat demonstrasi teknologi rendah karbon, menampilkan penyelesaian inovatif masa depan.

Ujarnya, Energy Park yang menjadi antara tarikan utama turut diperbesarkan dua hingga tiga kali ganda berbanding tahun lalu bagi memberi ruang kepada lebih banyak pameran teknologi dan inovasi terkini dalam industri tenaga.   

“Selain itu, antara tumpuan utama ialah penganjuran program ‘Future Energy Leaders’ yang menyasarkan penyertaan anak muda dalam usaha meningkatkan kesedaran dan minat terhadap kerjaya serta peluang dalam sektor tenaga.

“Kita mahu membina ekosistem yang menyokong peralihan tenaga secara menyeluruh dan ini bermula dengan menyemai minat dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Katanya, sesi meja bulat Ketua Pegawai Eksekutif kali ini dijangka lebih produktif apabila peserta dibahagikan kepada kumpulan kerja bagi menghasilkan komitmen bersama ke arah kerjasama yang lebih berkesan dalam sektor tenaga.

“Kita bukan sahaja mahu melibatkan pembuat dasar dan pemain industri tetapi juga pelajar, juruteknik, usahawan serta pemain industri tenaga untuk bersama-sama mencari penyelesaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN