Eco-Shop kuasai 67.8 peratus pasaran kedai harga rendah - Utusan Malaysia

Eco-Shop kuasai 67.8 peratus pasaran kedai harga rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eco-Shop menguasai 67.8 peratus pasaran kedai harga rendah di Malaysia, menjadikannya peneraju mutlak dalam segmen berkenaan, menurut TA Securities.

Firma itu berkata, penguasaan pasaran itu adalah bukti kekuatan jenama Eco-Shop serta strategi pengembangan yang agresif dan konsisten, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju runcit kos rendah tempatan.

“Jenama ini turut mendapat sambutan kukuh daripada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mencari barangan harian pada harga mampu milik. 

“Keupayaan Eco-Shop mengekalkan harga tetap RM2.60 juga menjadi faktor tarikan utama kepada pelanggan setianya,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Eco-Shop yang kini memiliki lebih 300 cawangan di seluruh negara mengunjurkan untuk membuka sehingga 150 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang, dan pada masa sama merancang untuk memperluas capaian logistik serta automasi bagi menyokong pertumbuhan pesat syarikat.

TA Securities berkata, strategi pengembangan itu bakal meningkatkan lagi kecekapan operasi dan margin keuntungan Eco-Shop, yang kini turut memberi tumpuan kepada pengoptimuman rantaian bekalan serta penggunaan teknologi dalam pengurusan inventori.

“Berdasarkan data daripada Euromonitor, pasaran kedai harga rendah di Malaysia bernilai kira-kira RM2.5 bilion pada 2023, dengan Eco-Shop menguasai hampir dua pertiga daripada nilai pasaran itu.

“Dengan permintaan yang kukuh serta fokus kepada pertumbuhan mampan, kami percaya Eco-Shop mampu mengekalkan momentumnya dan terus memperkukuh dominasi dalam pasaran,” katanya.

TA Securities turut memuji daya tahan model perniagaan Eco-Shop yang terbukti berkesan meskipun berdepan cabaran inflasi, kos logistik dan persaingan daripada pesaing baharu serta platform e-dagang.

Firma itu menjangkakan keuntungan bersih Eco-Shop akan berkembang pada kadar tahunan terkumpul sebanyak 19.7 peratus dari tahun kewangan 2023 hingga 2026, disokong oleh pertambahan bilangan kedai dan pengukuhan margin.

Eco-Shop dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 17 Mei ini, dan telah menarik perhatian pelabur institusi serta runcit susulan prospek pertumbuhan dan asas perniagaan yang kukuh.

TA Securities meletakkan saranan ‘langgan’ bagi tawaran awam permulaan (IPO) Eco-Shop dengan harga IPO 77 sen sesaham, dengan nilai wajar ditetapkan pada RM1.13, mewakili potensi kenaikan sebanyak 46.8 peratus.

Firma itu menyifatkan Eco-Shop sebagai satu peluang pelaburan menarik dalam sektor runcit, memandangkan model perniagaan yang berdaya saing, asas kukuh serta potensi pertumbuhan jangka panjang.

“Keupayaan Eco-Shop untuk mengekalkan harga tetap sambil terus mencatat pertumbuhan pendapatan dan keuntungan adalah bukti kecekapan pengurusan kos dan strategi perniagaan yang mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN