PETALING JAYA: Bhavani Foods kini sedang giat memperluaskan rangkaian pasarannya menerusi produk berasaskan tumbuhan yang memenuhi permintaan gaya hidup sihat pengguna global melalui pensijilan halal.
Pengarah Urusan merangkap Pengasas Bersama Bhavani Foods (M) Sdn. Bhd., Sreenivas Saba berkata, syarikat itu memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seawal 2016 bagi produk keluarannya di bawah jenama Uncle Saba’s Poppadoms dan telah menembusi lebih 20 negara.
Katanya, pensijilan halal bukan sekadar pematuhan syariah, tetapi merupakan pelaburan strategik yang mampu melonjakkan keyakinan pengguna serta membuka pintu pasaran baharu di peringkat global.
“Sebelum ini, dengan modal permulaan kurang daripada RM1 juta, kami memperkenalkan Uncle Saba’s Poppadoms pada 2015 sebagai snek berasaskan kacang dal dan kacang kuda, yang kini dipasarkan dalam perisa tempatan dan antarabangsa.
“Kami kini juga telah mempunyai kehadiran kukuh di pasar raya utama, stesen minyak dan kedai serbaneka seluruh negara.
“Namun, dengan pensijilan halal, kami berhasrat memperkukuh lagi kerjasama strategik dan menembusi pasaran baharu, khususnya di Asia Barat dan Eropah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pensijilan tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan pematuhan agama, malah menjadi bukti komitmen syarikat terhadap kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan.
“Dari awal lagi kami sedar bahawa sijil halal mampu menjadi pemangkin keyakinan pelanggan, terutamanya apabila berurusan dengan pengedar dan peruncit utama di dalam serta luar negara.
“Ia juga membantu kami membina reputasi kukuh dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya.
Beliau berkata, proses mendapatkan sijil halal tidak mudah kerana memerlukan pematuhan ketat terhadap piawaian di seluruh rantaian pengeluaran, termasuk aspek dokumentasi dan audit menyeluruh.
“Cabaran ini mengajar kami untuk lebih teliti dalam operasi, sekali gus memperkukuh kecekapan dan integriti sistem dalaman syarikat.
“Bagaimanapun, kini sijil halal menjadi antara faktor utama yang membezakan jenama kami dengan pesaing lain,” katanya.
Beliau turut menyeru lebih ramai usahawan dalam industri makanan dan minuman supaya melihat sijil halal sebagai pelaburan penting, bukan sekadar lesen pematuhan.
“Fahami keperluan pelanggan, ambil pendekatan proaktif dalam mengurus pensijilan dan jadikan ia sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan perniagaan,” ujarnya.
Antara produk terbaharu syarikat itu adalah termasuk Uncle Saba’s Plant-Based Lentil Crisps dan Chickpea Nachos dengan pelbagai perisa seperti Chipotle Chilli Lime, Texas BBQ dan Sea Salt & Vinegar.-UTUSAN










