ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau - Utusan Malaysia

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN boleh menjana tambahan AS$300 bilion (RM1.27 trilion) setiap tahun dalam hasil hijau dan dapat membuka nilai sehingga AS$1.5 trilion (RM6.36 trilion) nilai baharu menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, unjuran nilai itu sekiranya pelaburan hijau dan kerjasama rentas sempadan dalam grid kuasa serantau, pasaran karbon serta insentif tenaga bersih terus dipertingkatkan.

Katanya, dua benda yang perlu beri penekanan adalah teknologi hijau dan transformasi digital, sejajar dengan tema sempena Kepengerusian ASEAN negara adalah Keterangkuman dan Kemampanan.

Beliau berkata, Grid Tenaga ASEAN (APG) dengan 18 projek kuasa rentas sempadan dalam perancangan dan lebih 60 tapak tenaga boleh diperbaharui dikenal pasti berdiri sebagai peneraju peralihan tenaga mampan ASEAN.

“Kajian telah menunjukkan bahawa APG boleh menambah sehingga AS$3 trilion (RM12.7 trilion) dalam nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2050 dan mewujudkan 1.45 juta pekerjaan di seluruh rantau ini.

“Kejayaan APG akan bergantung kepada pembiayaan strategik, daripada bank-bank seperti ADB (Asian Development Bank) dan Bank Dunia, memastikan keterasan ASEAN dan autonomi serantau,” katanya pada Forum Perniagaan ASEAN 2025 di Hotel St. Regis di sini, semalam.

Ucaptama beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

Zafrul berkata, jika risiko iklim tidak ditangani secara serius, ASEAN berdepan kehilangan sehingga 30 peratus KDNK menjelang 2050.

Menurutnya, Strategi Pelaburan Hijau Malaysia menyampaikan hampir seribu projek yang diluluskan pada tahun 2024, menyalurkan RM20.8 bilion ke dalam ekonomi dan mewujudkan beribu pekerjaan sedia masa hadapan.

Beliau berkata, kementerian terus mendorong kepada rangka kerja utama dan peruntukan kawal selia untuk melaksanakan cita-cita hijau tersebut, termasuk dalam Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan, Garis Panduan Pelaburan Mampan dan Buku Panduan Rantaian Nilai Penghijauan.

“Terdapat juga Strategi ASEAN untuk Berkecuali Karbon, dengan inisiatif seperti mengharmonikan pasaran karbon dan piawaian pengukuran; memajukan teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCS/CCUS) dan mewujudkan rangka kerja peralihan yang adil untuk pekerja dan komuniti.

“Semua ini memudahkan pangsi sektor korporat ke arah pertumbuhan yang mampan dan mesra iklim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN