Alliance Bank lancar laporan ESG pertama perkasa PKS Sarawak

Alliance Bank lancar laporan ESG pertama perkasa PKS Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) melancarkan Laporan ESG PKS Sarawak sulung bagi memperkukuh agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu.

Laporan berkenaan dibangunkan menerusi satu kajian menyeluruh dengan sokongan Kerajaan Sarawak, InvestSarawak, Universiti Monash serta United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, penerbitan laporan berfokuskan Sarawak itu bertujuan memberikan pemahaman lebih mendalam terhadap realiti yang dihadapi perniagaan tempatan.

“Ini membolehkan kita mengenal pasti cabaran dan peluang yang ada. Data yang dikumpulkan akan membantu perniagaan membuat keputusan tepat serta berfungsi sebagai penanda aras bagi menggalakkan amalan terbaik merentasi industri.

“Kami sedar pelbagai cabaran wujud seperti kekurangan sumber, tenaga kerja dan kejelasan maklumat, terutamanya apabila berdepan pelbagai kerangka dan data yang berpecah.

“Akses kepada pembiayaan juga merupakan halangan nyata. Ini isu sebenar yang perlu ditangani secara kolektif.

“Kami berharap laporan ini menjadi panduan penting kepada PKS, membantu mereka membina kapasiti dan mengakses alat serta sumber berguna dalam perjalanan ESG mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan tersebut turut memberi gambaran jelas mengenai tahap kesedaran, pelaksanaan serta cabaran yang dihadapi PKS di seluruh Sarawak dalam mengamalkan prinsip ESG, selain menawarkan cadangan praktikal ke arah kelestarian perniagaan.

Dalam prakata laporan itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk menerapkan kelestarian sebagai teras pembangunan ekonomi selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Laporan menyeluruh ini bukan sahaja menonjolkan kemajuan yang dicapai perniagaan di Sarawak, tetapi turut mengenal pasti bidang yang memerlukan sokongan dan campur tangan.

“Dengan menyelaraskan amalan mereka kepada prinsip ESG, PKS boleh mengukuhkan daya tahan dan daya saing, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada masa depan mampan Sarawak,” katanya.

Laporan itu turut mendedahkan momentum positif dalam kalangan PKS di negeri tersebut, apabila enam daripada 10 PKS menyedari kepentingan kelestarian, manakala 66 peratus telah mula melaksanakan amalan ESG, termasuk secara tidak langsung.

Bagi kumpulan yang belum melaksanakan ESG, 98 peratus menyatakan hasrat untuk berbuat demikian, dengan 59 peratus merancang memulakannya dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam pada itu, antara faktor utama yang mendorong PKS mengamalkan ESG adalah keperluan memenuhi jangkaan pengguna, pembekal dan pelabur yang semakin berubah.

Namun begitu, laporan itu turut mengenal pasti beberapa cabaran utama pelaksanaan ESG, termasuk kekurangan sumber, kekangan tenaga kerja dan kesukaran memahami pelbagai kerangka ESG yang wujud.

Sementara itu, InvestSarawak sebagai rakan utama, komited menyokong PKS dalam mengatasi cabaran tersebut menerusi penjelasan maklumat, sokongan kewangan dan peluang pembangunan kapasiti.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN