Affin terima penarafan kredit antarabangsa pertama, A3

Affin terima penarafan kredit antarabangsa pertama, A3

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Affin Group (Affin) menerima penarafan kredit antarabangsa pertamanya iaitu A3 dengan unjuran stabil daripada Moody’s Ratings, sebuah agensi penarafan kredit yang terkenal di peringkat global. 

Penarafan ini merupakan satu pencapaian penting dalam sejarah 50 tahun Affin, mencerminkan asas kewangan yang kukuh, kualiti aset yang berhemah, kedudukan modal yang berdaya tahan serta hubungan institusi yang kukuh dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang memegang 31.25 peratus kepentingan ekuiti dalam bank tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, penarafan ini adalah yang pertama bagi Affin dan merupakan satu pencapaian membanggakan dalam perjalanan lima dekad kumpulan.

“Pengiktirafan Moody’s terhadap asas-asas kukuh kami mengesahkan kekuatan Pelan Axelerate 2028 (AX28) kami. 

“Sambil kami terus mengembangkan jejak dan memperluas keterangkuman kewangan di seluruh Malaysia, penarafan ini mengukuhkan keyakinan pasaran terhadap Affin serta mencerminkan janji jenama kami, ‘Sentiasa Tentang Anda’,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau menambah, penarafan kukuh ini mengukuhkan kedudukan Affin di pentas global, khususnya dalam kalangan pelabur antarabangsa dalam bidang seperti pembiayaan perdagangan, perbankan koresponden dan pasaran modal dolar Amerika Syarikat (AS).

“Ia membuka akses yang lebih luas kepada peluang dan pembiayaan global untuk kumpulan. Pengiktirafan ini juga mengukuhkan lagi kekuatan AX28 kami, yang berpaksikan tiga teras strategik, perkhidmatan pelanggan yang tiada tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab dengan impak. 

“Teras-teras ini terus memandu perjalanan transformasi kami dalam usaha memberikan pengalaman pelanggan yang luar biasa, memanfaatkan inovasi digital serta memperjuangkan amalan perbankan mampan yang memberikan nilai bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya. 

Dalam penilaiannya, Moody’s menekankan beberapa kekuatan utama Affin, termasuk kualiti aset yang sihat, disokong oleh nisbah pinjaman Tahap 3 yang rendah iaitu 1.9 peratus dan tahap tumpuan kepada satu pihak yang rendah, permodalan yang kukuh, dengan nisbah ekuiti biasa ketara kepada aset berwajaran risiko sebanyak 14.5 peratus setakat akhir 2024.

“Selain itu, pembiayaan dan kemudahan tunai yang mencukupi, disokong oleh pertumbuhan deposit CASA iaitu keuntungan yang semakin meningkat, didorong oleh kecekapan operasi dan inisiatif transformasi digital,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN