PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menugaskan seramai 154 kakitangan untuk bersiap siaga di lapangan dan bilik gerakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 bermula esok hingga 24 Mei ini.
Persediaan tersebut bagi memastikan bekalan elektrik berterusan dan berdaya harap sepanjang LIMA dijalankan.
Menurut TNB, pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti semakan dan penyelenggaraan sistem 11kV dan 33kV di lokasi-lokasi utama LIMA 2025 seperti Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), dan Resort World Langkawi pada tahun lepas.
“Selain itu, TNB juga menempatkan aset-aset seperti janakuasa bergerak di lokasi strategik serta bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Langkawi
(LADA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Langkawi, Polis Marin, serta agensi-agensi lain bagi memastikan penyelarasan persiapan yang menyeluruh,” katanya.
Dengan permintaan tenaga dijangka mencecah 85MW sepanjang acara berlangsung, TNB kekal komited untuk memastikan pengalaman pengguna yang selamat, lancar dan meyakinkan kepada semua pihak yang terlibat dengan LIMA 2025. – UTUSAN