PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyakini bahawa QL Resources Bhd. mencatat pertumbuhan kukuh merentasi semua segmen utama, meskipun terdapat penyederhanaan jangka pendek dalam beberapa unit perniagaan.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu terlibat dengan perniagaan haiwan ternakan, telur dan pengeluaran makanan laut berasaskan ikan di seluruh Asia.
“Segmen pembuatan produk marin (MPM) dijangka pulih hasil peluasan kapasiti, manakala perniagaan penternakan ternakan bersepadu pula terus mencatat prestasi positif hasil sokongan kukuh dalam pasaran domestik dan pemulihan dinamik serantau.
“Permintaan stabil bagi produk surimi, disokong MPM meskipun segmen itu mencatat prestasi lebih perlahan pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024.
“Kami kekal positif terhadap QL Resources kerana permintaan terhadap produk berasaskan surimi kekal stabil.
“Selain itu, permintaan untuk surimi dan produk berasaskan surimi dijangka berdaya tahan disokong harga jualan yang stabil dan kadar penukaran yen Jepun yang menggalakkan, kos input yang lebih rendah, dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang stabil,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Jelasnya, segmen hiliran syarikat itu dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama dengan peluasan kapasiti pengeluaran untuk jangka sederhana.
“Produk makanan sejuk beku QL Resources telah menyumbang secara purata 52 peratus daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan sepanjang tiga tahun lalu.
“Segmen penternakan juga mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dengan keuntungan sebelum cukai bagi suku ketiga 2025 meningkat sekitar 20 peratus tahun ke tahun, disumbang oleh operasi domestik,” ujarnya.
HLIB berkata, margin dijangka kekal stabil kerana harga bahan makanan ternakan telah kembali stabil selepas mencatat paras tinggi sebelum ini.
Di Malaysia, segmen ayam penelur mendapat manfaat daripada penurunan kos makanan ternakan dan bantuan subsidi berterusan.
Bagi Indonesia pula, pemulihan harga telur dan peningkatan produktiviti dijangka menyokong prestasi.
Namun begitu, operasi di Vietnam terus tertekan disebabkan harga telur yang rendah walaupun kos makanan ternakan turut menurun.
Sementara itu, operasi ayam pedaging di Sabah dan Sarawak dijangka terjejas berikutan harga lemah dan isu produktiviti yang berpunca daripada wabak penyakit.
Segmen minyak sawit dan tenaga bersih turut muncul sebagai penyumbang utama keuntungan, dipacu margin yang kukuh dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang masih tinggi.
Rangkaian kedai serbaneka FamilyMart yang turut dimiliki oleh kumpulan itu dijangka mencatat prestasi lebih perlahan dalam suku keempat disebabkan Februari yang lebih pendek dan bulan puasa pada Mac.-UTUSAN










