KUALA LUMPUR: Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) akan menubuhkan platform MSPO Impact Alliance, platform pelbagai pihak berkepentingan yang akan memperluaskan nilai pensijilan menjelang suku ketiga tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, platform itu dibangunkan untuk meneroka dan menguji model inovatif yang dapat meningkatkan pensijilan terbabit.
Katanya, melalui kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), badan akreditasi, institusi kewangan, rakan teknologi, serta syarikat barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) multinasional, [platform ini membolehkan MSPO menerajui idea seperti pembiayaan hijau untuk pengeluar yang diperakui, penyelesaian pengesanan digital, alat pemantauan penebangan hutan dan insentif pembelian inklusif untuk pekebun kecil.
“MSPO Impact Alliance turut memberi tumpuan kepada penyelesaian praktikal termasuk kebolehkesanan untuk pekebun kecil, alat pematuhan sosial, persediaan menghadapi peraturan baharu seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EU Deforestation Regulation), serta usaha bersama untuk menunjukkan impak.
“Saya juga berbesar hati mengalu-alukan Nestle Malaysia sebagai salah satu ahli pengasas platform ini dan Memorandum Persefahaman (MoU) ini adalah langkah awal sebelum pelancaran rasmi dan satu contoh jelas bagaimana jenama global dan sistem negara boleh maju bersama dengan matlamat dan tanggungjawab bersama,” katanya selepas majlis menandatangani MoU di antara MSPO dan Nestle Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Nestle Malaysia dan Skim Pensijilan MSPO memeterai MoU untuk bekerjasama dalam usaha mempromosikan pemerolehan minyak sawit yang bertanggungjawab.
Kerjasama ini menggabungkan rangka kerja pensijilan nasional MSPO yang inklusif dengan komitmen Nestle Malaysia terhadap pemerolehan bertanggungjawab dan pengalaman rantaian bekalan global.
Ia juga menyokong pelaksanaan Pelan Strategik MSPO 2024–2026, termasuk pengenalan MSPO 2.0 yang bermula pada 1 Januari 2025.
Standard yang dipertingkat ini memperkenalkan Penilaian Kesan Sosial (SIA), pelaporan gas rumah hijau, tarikh akhir pembasmian hutan, penunjuk buruh sejajar ILO dan keperluan kebolehjejakan penuh.
Johari berkata, MoU itu memberi penekanan kepada tindakan praktikal seperti penambahbaikan kebolehkesanan, pengukuhan amalan buruh yang bertanggungjawab, pemberdayaan pekebun kecil dengan ilmu dan sumber, serta penjajaran dengan piawaian global.
“Kerjasama seperti ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Nestle Malaysia membawa pengalaman global, keterlihatan pasaran, dan komitmen kukuh terhadap prinsip ESG.
“Sebaliknya, MSPO menawarkan piawaian kebangsaan yang dipercayai dan disahkan secara bebas, serta semakin sejajar dengan norma antarabangsa.
“Ini memastikan minyak sawit Malaysia terus sinonim dengan tanggungjawab dan kualiti. MSPO kini juga disenaraikan secara rasmi dalam Standards Map oleh International Trade Centre,” katanga.
Sementara itu, Pengerusi MSPO, Mohd. Haris Mohd. Arshad berkata, MoU ini mencerminkan penjajaran yang jelas antara dua bahagian penting dalam rantaian bekalan serta komitmen bersama untuk bekerjasama dalam perkara praktikal yang penting.
“Ia juga mengenai memperkukuh matlamat bersama antara kerajaan, industri, dan rakan global untuk membentuk sektor sawit yang bertanggungjawab, inklusif, melindungi mata pencarian, menghormati alam sekitar dan memenuhi piawaian yang dituntut dunia.
“Sebagai Pengerusi MSPO dan individu yang terlibat secara langsung dalam operasi industri di SD Guthrie, saya boleh katakan bahawa kerjasama ini hadir pada waktu yang amat memerlukan kejelasan dan penyelarasan,” katanya. – UTUSAN