Panduan kewangan selepas Hari Raya

Panduan kewangan selepas Hari Raya

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJAM celik, sudah genap seminggu umat Islam menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini.

Tak kira sama ada yang sudah berkeluarga mahu pun bujang, musim perayaan pastinya mengeluarkan banyak perbelanjaan dari segi pakaian, kuih-muih, duit raya dan sebagainya.

Pada masa itulah, ramai yang akan mengeluh mengenai masalah kewangan masing-masing.

Minggu ini, Ringgit mahu berkongsi dengan pembaca tips kewangan selepas sambutan Hari Raya bagi membantu untuk kembali berhemah dalam perbelanjaan.

Simpan sebahagian pendapatan bersih

Menyimpan sebahagian pendapatan daripada gaji yang di­terima setiap bulan adalah satu perkara yang mudah tetapi masih ramai yang gagal untuk mengamalkan perkara ini.

Walaupun jumlah tersebut adalah kecil, namun jika diamalkan setiap bulan, ia akan menjadi rutin.

Bak kata peribahasa ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’.

Kurangkan makan di luar

Membeli makan di kedai boleh menambah kos perbelanjaan harian anda.

Selepas sambutan Hari Raya ini, apa kata anda masak dan bawa makanan ke pejabat.

Dalam pada itu, anda juga dapat mengawal nutrisi makanan yang diambil supaya lebih setelah makan ketupat dan rendang semasa Hari Raya.

Dahulukan perkara yang penting

Jika anda terpaksa membuat perbelanjaan yang besar, dahulukan perkara yang penting dahulu.

Anda harus membezakan antara keperluan dan juga kehendak. 

Sebagai contohnya, jika telefon anda sudah mempunyai data internet yang banyak, mungkin anda tidak perlu memasang WiFi di kediaman.

Tambahnya pula bagi mereka yang bujang, bekerja dan jarang berada di rumah.

Pilih alternatif lebih berpatutan

Tips ini boleh digunakan dalam pelbagai perkara dalam kehidupan anda seperti pakaian, elektronik, mahu pun pengangkutan.

Jika anda tinggal di kawasan yang jauh dari tempat kerja tetapi mempunyai akses yang baik terhadap pengangkutan awam, mungkin anda boleh menaiki tren ke tempat kerja berbanding memandu kereta.

Melalui cara ini, anda dapat mengurangkan perbelanjaan dari segi minyak, tol dan mungkin juga masa perjalanan.

Sediakan tabung kecemasan

Selain daripada simpanan biasa, anda juga digalakkan untuk menyediakan tabung kecemasan.

Ini bagi membuat anda sentiasa bersedia jika perkara tidak diingini berlaku seperti kereta rosak, kemalangan dan lain-lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN