KUALA LUMPUR: Nazsoft Tech Sdn. Bhd. menyasarkan menembusi sekurang-kurangnya lima peratus pasaran dalam sektor kerajaan melalui produk Government Resource Planning (GRP) bagi memperluas penyelesaian digital dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Nazsoft Tech, Dr. Muhammad Nazrol Zawawi berkata, syarikat turut menyasarkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta sebagai pelanggan utama bagi menawarkan penyelesaian teknologi mereka.
“Nazsoft mencatat pertumbuhan yang pesat dan menjangkakan peningkatan bilangan klien sehingga 200 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Dengan penyelesaian ini, Nazsoft optimis mampu menguasai sekurang-kurangnya lima peratus pasaran sektor kerajaan, termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anak syarikat kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai perancangan untuk meneroka pasaran antarabangsa, beliau menjelaskan bahawa keutamaan syarikat buat masa ini adalah Malaysia kerana pengalaman selama 15 tahun di luar negara telah mendorong beliau untuk memberi fokus kepada penciptaan pekerjaan dan pembangunan ekonomi di dalam negara.
“Kelebihan utama Nazsoft adalah kemampuan kami menawarkan penyelesaian pada harga yang kompetitif. Lebih penting, kami sentiasa mendengar dan memenuhi permintaan pelanggan.
“Tidak seperti pesaing lain yang mungkin membangunkan penyelesaian di luar negara, kami membangunkannya di sini dan bersedia memberikan sokongan penuh,” katanya.
“Walaupun fokus utama Nazsoft adalah pasaran tempatan, syarikat ini tidak menolak peluang untuk berkembang di peringkat antarabangsa, terutamanya di rantau Asia yang lebih dekat dan berpotensi besar.
“Kami terbuka untuk meneroka kerjasama dengan kerajaan atau sektor lain di luar negara sekiranya terdapat permintaan. Buat masa ini, keutamaan kami adalah mengukuhkan kedudukan di Malaysia dan terus menyokong ekonomi tempatan,” katanya.
Baru-baru ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Nazsoft Tech dan disokong oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia melancarkan Perdagangan Madani Digital (MDT), sebuah platform maya bersepadu yang bertujuan memperkukuh akses pengeksport Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Nazrol berkata, inisiatif strategik itu boleh bertindak sebagai portal maklumat menyeluruh, memberikan pengeksport Malaysia perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan akses kepada maklumat penting, kawal selia dan perkhidmatan.
“Dengan mengumpulkan pelbagai maklumat termasuk geran, latihan, permit serta kepintaran pasaran terkini, platform ini meningkatkan ketelusan memperkemas dan kecekapan perdagangan
“MDT juga menyasarkan untuk menarik ahli sedia ada sebagai pengguna awal platform ini, namun ia terbuka kepada semua PMKS.
“Dengan inisiatif ini, pertumbuhan hasil dijangka meningkat sebanyak dua peratus hingga lima peratus, memberikan manfaat besar kepada syarikat dan Matrade secara keseluruhan,” ujarnya.
MDT melalui platform madanitrade.com bertujuan membantu pengeksport Malaysia menembusi pasaran global melalui medium digital yang kos efektif.
Fungsi utama termasuk Platform Interaksi Maya yang menghubungkan perniagaan dengan Pembeli Premium.-UTUSAN










