Ladang tenusu F&N di Gemas balik modal tiga tahun lagi - Utusan Malaysia

Ladang tenusu F&N di Gemas balik modal tiga tahun lagi

Lim Yew Hoe (tengah) bersama Ketua Pegawai Kewangan F&NHB, Tiong Yean Yau (kiri) dan Pengarah Urusan, Pertanian & Ladang Tenusu F&NHB, Dr. Yap Peng Kang (kanan) di reruai F&N AgriValley semasa Taklimat Keputusan Kewangan Separuh Tahun Pertama Tahun Kewangan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) meneruskan pembangunan ladang tenusu bersepadu bernilai RM1.8 bilion di Gemas, Negeri Sembilan, dengan sasaran untuk mencapai pulangan modal dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Projek itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap keselamatan makanan melalui pengurangan kebergantungan kepada tenusu import dan meningkatkan keupayaan pengeluaran susu segar tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe, berkata, syarikat merancang untuk meningkatkan operasi kepada 10,000 ekor lembu tenusu dalam fasa pertama, sebelum mencapai sasaran 20,000 ekor dalam fasa kedua untuk mencapai titik pulang modal.

“Pelaburan RM1.8 bilion ini mencerminkan strategi jangka panjang kami untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import tenusu dan memperkukuh bekalan susu mentah tempatan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan keputusan kewangan F&N, semalam.

Yew Hoe berkata, daripada jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM1.8 bilion, kira-kira RM600 juta telah dibelanjakan untuk pembinaan infrastruktur fasiliti, manakala kurang RM100 juta diperuntukkan untuk pemerolehan lembu.

“Selebihnya digunakan untuk kemudahan pemprosesan tenusu, peralatan dan sistem operasi.

“Susut nilai aset dijangka bermula dalam masa terdekat apabila operasi meningkat. Projek ini melibatkan 10 unit kandang, dan setakat ini 2,500 ekor lembu telah tiba dan mengisi kapasiti awal.

“Penggunaan penuh semua fasiliti pula dijangka mengambil masa tiga tahun, seiring dengan ketibaan lembu secara berperingkat dan kitaran pengeluaran susu,” katanya.

Menurutnya, kos makanan ternakan merupakan faktor paling penting yang mempengaruhi tempoh untuk mencapai keuntungan.

“Kami telah mula menanam silaj jagung di atas kawasan seluas 500 hektar dan merancang untuk gandakan keluasan ini tahun depan. Namun, pengeluaran makanan ternakan hanya akan capai 40 peratus menjelang 2026.

“Iklim Malaysia membolehkan kami menanam tiga kitaran setahun berbanding satu kitaran di Amerika Syarikat (AS) . Ini membantu kecekapan makanan dan boleh menjadikan kos kami lebih rendah daripada ladang di AS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa isu terdahulu berkaitan pembelian lembu dari AS telah diselesaikan dan F&N kini memilih untuk terus mendapatkan lembu dari Chile yang menunjukkan hasil susu setara dengan baka AS.

“Lembu dari Chile secara genetik hampir dengan baka AS dan memberikan hasil susu harian yang lebih tinggi berbanding baka Australia atau New Zealand. Baka lembu berpenghasilan rendah juga memerlukan lebih banyak kandang dan boleh menjejaskan kadar pulangan dalaman (IRR),” katanya.

Melangkah ke hadapan, katanya, F&N juga sedang membangunkan loji pemprosesan tenusu di Kemboja menerusi anak syarikatnya di Thailand.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan pasaran sedia ada kami di Kemboja yang kukuh dan halangan kemasukan yang lebih rendah berbanding pasaran besar seperti Vietnam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya