KLANG: Kerajaan sedang meneliti semula kadar tarif pelabuhan dengan pendekatan berfasa bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus tanpa membebankan industri, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata, mekanisme pelaksanaan masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan dengan jaminan tidak akan berlaku kenaikan mendadak.
“Sebarang keputusan akan mengambil kira pandangan pemain industri melalui jawatankuasa konsultatif di bawah Lembaga Pelabuhan, bagi menjamin keseimbangan antara keperluan pelaburan dan kebajikan pengguna,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Latihan Pemandu Lori Pengangkut Kereta untuk Pengendalian Kenderaan Elektrik (EV), di sini semalam.
Sebelum ini, Anthony menjelaskan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30 peratus bagi pengendalian dan penyimpanan kontena dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, penilaian semula tarif kali ini sudah melalui pelbagai proses termasuk konsultasi bersama pemegang taruh dan perbincangan jawatankuasa konsultatif di peringkat pelabuhan.
Sumber industri berkata, semakan tarif untuk pelabuhan-pelabuhan ketika ini tidak berstruktur, dan mengambil masa yang agak lama menyebabkan penambahbaikan pelabuhan tidak seimbang.
Katanya, sebarang kenaikan akan memastikan perkhidmatan pelabuhan dan peningkatan kapasiti, infrastruktur dan produktiviti pelabuhan-pelabuhan serta membantu menjadi hab pelabuhan dan logistik terunggul di rantau Asia.
Sumber lain pula menyatakan di negara jiran kerajaan menyediakan geran untuk pembangunan infrastruktur seperti pelabuhan dan lapangan terbang.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Program Latihan Pemandu Lori Pengangkut Kereta untuk Pengendalian EV, Anthony berkata, pelancaran itu adalah sangat tepat pada masanya.
“Dalam usaha kerajaan untuk memacu penggunaan EV di Malaysia, kita perlu memastikan kesiapsiagaan industri dan tenaga kerja kita untuk menangani cabaran logistik.
“Ini khususnya dalam memastikan penghantaran dan pengendalian kenderaan EV yang selamat dan efisien dari pelabuhan ke bilik pameran dan pelanggan di seluruh negara”, katanya.
Program itu merupakan anjuran Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC dengan kerjasama Center for Logistics Leadership in Business (CLLB) Sdn Bhd dan KPX Sdn. Bhd. (KPX).
Kumpulan pertama program latihan itu telah menarik penyertaan 22 orang peserta, terdiri daripada pemandu dan penyelia daripada lima buah syarikat lori pengangkut kereta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin berkata, program itu menawarkan kurikulum yang komprehensif dengan menggabungkan kedua-dua latihan teori dan praktikal.
“Ini bagi memastikan peserta dilengkapi sepenuhnya dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan untuk pengendalian EV.
“Dengan memanfaatkan pengalaman kami serta kerjasama bersama CLLB dan KPX, inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam memajukan dan menyokong ekosistem logistik EV,” ujarnya. – UTUSAN