Kafe Monsterbytes catat jualan hampir RM40,000

Kafe Monsterbytes catat jualan hampir RM40,000

MONSTERBYTES Cafe mula beroperasi di Batu Caves, Selangor pada 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dari angan-angan ketika merantau di Korea Selatan, Syazwi Syafiq Romli, 31, pulang ke tanah air dengan impian besar iaitu ingin membuka kafe sendiri yang bukan sahaja menyajikan kopi, tetapi turut menawarkan pengalaman menjamu selera yang mesra dan penuh personaliti.

Monsterbytes Cafe yang kini beroperasi di Batu Caves, Selangor, bermula pada 23 Julai 2018 selepas dirinya menimba pengalaman kerja selama lima tahun di luar negara.

Bermodalkan simpanan sendiri, minat mendalam dalam dunia kopi serta semangat yang didorong keluarga dan rakan-rakan, Syazwi tekad memulakan langkah sebagai usahawan dalam industri makanan dan minuman (F&B).

“Waktu di Korea, saya selalu berangan untuk buka kafe sendiri. Bila balik ke Malaysia, saya terus gunakan duit simpanan untuk realisasikan impian itu.

“Monsterbytes Cafe bukan sekadar tempat untuk minum kopi malah kami turut menawarkan pelbagai makanan barat seperti pasta, piza, dan pencuci mulut selain perkhidmatan katering kecil serta khidmat proses membancuh kopi (coffee brewing) untuk acara korporat atau peribadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Syazwi, satu daripada pendorong utama untuk memulakan perniagaan ini adalah minat yang sangat tinggi terhadap dunia kopi, yang membawa beliau untuk belajar sendiri tentang proses pembuatan dan seni kopi.

Ujarnya, selain ilmu yang dikutip sendiri, kepercayaan terhadap potensi diri juga menjadi penguat semangat untuk mengatasi ketakutan memulakan sesuatu yang baharu.

“Banyak soalan bermain di kepala. Adakah perniagaan ni akan diterima? Tapi saya tahu kalau saya tak cuba, impian tu hanya kekal impian. 

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan sambutan pelanggan pada awal operasi, saya tidak pernah berputus asa malah menganggap fasa tersebut sebagai proses pembelajaran yang penting,” katanya.  

Mengulas lanjut, Syazwi berkata, hari ini Monsterbytes Cafe berjaya mencatatkan purata jualan bulanan sekitar RM30,000 hingga RM40,000, bergantung kepada musim dan sambutan pelanggan.

Ujarnya, kejayaan itu bukan sekadar hasil menu yang sedap, tetapi juga disumbangkan oleh suasana kedai yang sentiasa berubah dari segi dekorasi serta perkhidmatan yang mengutamakan keselesaan pelanggan.

“Setiap kali pelanggan datang, kami mahu mereka rasa macam datang ke rumah kawan, selesa, santai dan dilayan dengan mesra.

“Monsterbytes juga sering menerima kehadiran pelancong asing, memandangkan lokasinya yang strategik dan berhampiran dengan Batu Caves Temple, antara lokasi tumpuan pelancong,” ujarnya.

Tambahnya, sokongan daripada pelanggan tetap dan komuniti sekitar menjadi pemacu untuk dia terus memperbaiki operasi serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

“Antara menu yang paling digemari ialah pasta berkrim yang dimasak sepenuhnya dari awal serta kopi yang dibancuh mengikut pesanan, yang menjadi kegemaran pelanggan setia kafe tersebut,” katanya.

Selain itu, Syazwi juga aktif memperkenalkan variasi baharu dalam menu dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggan sentiasa tertarik untuk kembali mencuba sesuatu yang baharu.

Menyedari cabaran dalam industri F&B yang sangat kompetitif, Syazwi menekankan kepentingan inovasi, strategi pemasaran media sosial serta menjaga hubungan baik dengan pelanggan sebagai aspek penting dalam kelangsungan perniagaan.

“Kami juga sentiasa menambah baik penjenamaan dan pengalaman pelanggan, bukan sekadar fokus pada makanan semata-mata. Zaman sekarang, pelanggan mahukan lebih daripada sekadar makan malah mereka inginkan suasana yang menarik, layanan mesra dan kualiti yang konsisten,” katanya.

Bagi jangka masa panjang, Syazwi berharap dapat membuka lebih banyak cawangan di kawasan berpotensi tinggi serta membina jenama Monsterbytes Cafe sebagai salah satu pilihan utama dalam segmen kafe tempatan.

“Jika diberi peluang, saya berhasrat untuk membuka cawangan baharu di lokasi yang lebih tumpuan, terutamanya di kawasan bandar, agar lebih ramai pelanggan berpeluang menikmati pengalaman di Monsterbytes,” tambahnya

Kepada golongan muda yang bercita-cita ingin berniaga, Syazwi menasihatkan agar sentiasa bersedia secara mental dan praktikal serta belajar bersungguh-sungguh sebelum memulakan apa jua perniagaan.

“Dalam dunia perniagaan ini, jangan harap semuanya manis. Kena usaha, kena sabar dan kena banyak belajar. Kalau tak ada asas dan semangat, memang cepat rasa nak putus asa,” katanya.

Dengan semangat tinggi, sokongan pelanggan dan kepercayaan pada visi yang dibina sejak dari luar negara lagi, Syazwi percaya Monsterbytes Cafe akan terus berkembang sebagai jenama tempatan yang dekat di hati pelanggan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN