Jenama China beri persaingan sengit pasaran automotif

Jenama China beri persaingan sengit pasaran automotif

CIMB Securities mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif disebabkan prospek pertumbuhan yang sederhana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar dan pembekal alat ganti automotif dari China dijangka semakin memfokuskan pasaran mereka ke Asia Tenggara, termasuk Malaysia, berikutan dasar tarif yang lebih mesra. 

Ini dijangka menyebabkan peningkatan ketara dalam import kenderaan dan alat ganti dari China pada harga yang sangat kompetitif.

CIMB Securities berkata, walaupun ia memberi manfaat kepada pengguna dari segi pilihan, teknologi kereta elektrik (EV) terkini dan harga berpatutan, ia juga meningkatkan tekanan persaingan kepada pemain tempatan. 

“Jenama Jepun, Korea Selatan dan Eropah yang beroperasi di Malaysia kini berdepan cabaran daripada jenama China seperti BYD dan Chery yang menawarkan teknologi canggih dan strategi harga agresif.

“Jenama nasional seperti Perodua dijangka mampu mempertahankan dan memperluas bahagian pasarannya dengan kelebihan harga mampu milik dan kandungan tempatan tinggi yang melindungi daripada kos import dan turun naik mata wang. 

“Kebolehan mengekalkan harga stabil menjadi kelebihan utama dalam pasaran yang sensitif kepada harga,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Jelasnya, CIMB Securities menjangkakan kesan terus minimum daripada dasar tarif balas oleh pentadbiran Trump yang berkuat kuasa pada 2 April 2025, memandangkan jumlah eksport kenderaan siap dan alat ganti dari Malaysia adalah terhad. 

“Namun, kesan tidak langsung dijangka melalui inflasi import, tekanan kos operasi dan potensi penurunan permintaan pengguna.  

“Sekiranya konflik tarif berlarutan dan menyebabkan kelemahan nilai ringgit, harga alat ganti dan kenderaan import (CBU dan CKD) akan meningkat. 

“Volatiliti mata wang boleh mengurangkan margin dan menaikkan kos input, memberi tekanan kepada pembuat kereta sama ada untuk menyerap kos atau memindahkannya kepada pengguna

“Konflik perdagangan yang panjang juga boleh melemahkan sentimen pengguna, menjejaskan perbelanjaan besar seperti pembelian kereta,” ujarnya. 

Dalam pada itu, menurutnya, Laporan National Trade Estimate 2024 oleh Wakil Perdagangan AS (USTR) menyatakan bahawa dasar Malaysia mengenai sekatan import kenderaan adalah satu bentuk halangan bukan tarif. 

“Polisi Automotif Nasional (NAP) membezakan antara kenderaan nasional seperti Proton dan Perodua dan bukan nasional termasuk model import dan yang dipasang tempatan oleh jenama asing.  

“Sistem permit yang diluluskan (AP) digunakan untuk mengawal jumlah import kenderaan, yang kini dihadkan kepada 10 peratus daripada pasaran domestik. 

“Walaupun sistem ini bertujuan menyokong industri automotif tempatan, ia menerima kritikan kerana kurang ketelusan dan kejelasan dalam pelaksanaan.

“Namun, laporan USTR turut mengakui beberapa langkah liberalisasi untuk EV. Di bawah Bajet Persekutuan 2024, pengecualian duti import dan eksais bagi EV import dilanjutkan hingga akhir 2025, manakala EV CKD akan menikmati pengecualian hingga akhir 2027,” katanya. 

CIMB Securities mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor ini disebabkan prospek pertumbuhan yang sederhana di tengah persaingan pasaran yang semakin sengit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN