Bubbles O2 komited jamin kualiti 

Bubbles O2 komited jamin kualiti 

AIN Azizah Arifin menunjukkan air mineral beroksigen semula jadi jenama Bubbles O2 yang menerima pensijilan halal Jakim sejak 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berpegang teguh kepada prinsip kepercayaan dan kualiti, Bubbles O2 Sdn. Bhd., pengeluar air mineral beroksigen semula jadi jenama Bubbles O2, menegaskan komitmen mereka dalam mematuhi piawaian halal sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan sejak awal penubuhan.  

Pengarah Urusannya, Ain Azizah Arifin berkata, pensijilan halal yang diperoleh pada 2019 bukan sahaja sebagai langkah memenuhi keperluan pengguna beragama Islam, malah menjadi kunci utama dalam memperkukuh jenama di pasaran tempatan dan antarabangsa.  

“Kami mendapatkan sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak awal kerana percaya ia adalah asas kepada kepercayaan pelanggan, khususnya masyarakat Islam. 

“Ia juga membuka peluang luas untuk menembusi pasar raya besar dan pasaran eksport di negara Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Satu daripada Finalis Anugerah Jenama Terbaik pada Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2024 itu berkata, setiap proses pengeluaran di kilang mereka mematuhi ketetapan halal, termasuk pemilihan bahan pembungkusan dan kawalan rantaian bekalan bagi memastikan tiada unsur tidak halal digunakan.  

“Antara cabaran utama ialah memastikan audit berkala dan dokumentasi pematuhan berjalan lancar. Namun, kami percaya usaha ini penting bagi memastikan kualiti produk terjamin dan pengguna terus yakin dengan jenama ini. 

“Bagaimanapun, produk Bubble 02 kini boleh didapati di lebih 5,000 lokasi di seluruh Malaysia, termasuk pasar raya utama seperti AEON, Lotus’s, Jaya Grocer dan Mydin, selain kedai serbaneka seperti 7-Eleven, MyNews dan CU Mart.  

“Kami juga telah memasuki pasaran antarabangsa seperti Brunei, Indonesia, Dubai dan Amerika Syarikat dengan perancangan pengembangan ke Afrika Selatan dan Eropah. 

“Sijil halal bagi kami bukan sahaja untuk menepati piawaian kualiti, tetapi juga satu daripada strategi kami untuk menembusi pasaran antarabangsa terutama bagi komuniti Islam di luar negara,” ujarnya.

Selain fokus pada kualiti produk, Bubbles O2 turut agresif memperluas penjenamaan melalui penajaan acara sukan utama seperti Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta mempunyai hubungan strategik bersama Majlis Sukan Negara (MSN).  

“Kami percaya bahawa air mineral kami adalah duta terbaik untuk jenama Bubbles O2. 

“Oleh itu, strategi pemasaran melalui acara besar menjadi keutamaan dalam usaha meningkatkan kesedaran jenama di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.  

Dalam pada itu, sebagai nasihat kepada usahawan lain, Ain Azizah menyarankan agar mendapatkan sijil halal di peringkat awal perniagaan bagi membina kepercayaan pengguna.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN