Bank Rakyat umum dividen 17 peratus, melibatkan pembayaran RM486.32 juta - Utusan Malaysia

Bank Rakyat umum dividen 17 peratus, melibatkan pembayaran RM486.32 juta

DATUK Ewon Benedick mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan 2024 di Menara Bank Rakyat hari ini. - UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 17 peratus bagi tahun kewangan 2024, membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM486.32 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, pembayaran dividen akan dilakukan mulai 16 April 2025 dan akan memanfaatkan 773,859 anggota.

Katanya, Bank Rakyat telah berjaya mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit untuk tempoh melebihi 20 tahun.

Jelasnya, prestasi kewangan yang memberangsangkan membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingannya untuk sokongan berterusan mereka.

“Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM36.43 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM18.22 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Jumlah sumbangan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM54.65 juta berbanding RM53.21 juta pada tahun sebelumnya,” katanya pada majlis pengumuman prestai kewangan dan dividen Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohamad Irwan Mohd. Mubarak berkata, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi sebanyak RM1.82 bilion berbanding RM1.76 bilion pada tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 3.15 peratus atau RM55.43 juta.

Beliau berkata, prestasi yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas, fokus terhadap aktiviti teras dan didorong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN