UEM Lestra, ACWA Power meterai perjanjian kerjasama strategik

UEM Lestra, ACWA Power meterai perjanjian kerjasama strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Lestra Berhad (UEM Lestra), anak syarikat milik penuh dan sayap industri hijau UEM Group Berhad (UEM Group), telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan ACWA Power dari Arab Saudi untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan bersama-sama membangunkan loji penjanaan tenaga dan air bebas (IWPP) di Malaysia.

Di bawah perjanjian ini, ACWA Power akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama UEM Lestra di samping meneroka pembangunan kemudahan IWPP boleh baharu dan menggunakan teknologi Osmosis Songsang Air laut (SWRO) dalam negara.

ACWA Power adalah syarikat terbesar di dunia dalam penyahgaraman air, peneraju peralihan tenaga dan terawal dalam hidrogren hijau, yang turut memiliki 101 projek dan aset merentasi 14 negara.

Dalam kenyataan bersama, UEM Lestra dan ACWA Power berkata, kajian kebolehlaksanaan itu dijangka mengambil masa selama enam hingga 12 bulan dan antara lain akan merangkumi loji penyahgaraman yang mampu menghasilkan sekitar 200,000 ke 400,000 meter kubik air sehari bagi kegunaan industri.

“Kajian juga akan menjurus ke arah melengkapi kemudahan IWPP dengan sama ada penyelesaian turbin gas kitaran gabungan (CCGT), ladang solar berskala besar (di atas darat atau terapung) yang dilengkapi dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), atau gabungan kedua-duanya,” katanya.

Perjanjian kerjasama ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad dan Ketua Pegawai Pembangunan, Rashidi Hazrin Harun, dengan Ketua Pegawai Pelaburan dan Pembangunan ACWA Power, Thomas Brostrom dan Ketua Pegawai Eksekutifnya di Malaysia, Mathew Chandapillai.

Ia disaksikan oleh Pengerusi UEM Group, Datuk Hisham Hamdan; Pengerusi UEM Lestra, Datuk Amran Hafiz Affifudin dan Naib Presiden Serantau ACWA Power, Salman Baray. Turut hadir, Penasihat Kanan kepada Pengerusi ACWA Power bagi Malaysia, Tan Sri Azman Mokhtar.

Sementara itu, Harman berkata, kerjasama merupakan inisiatif penting ke arah menyediakan bekalan air dan tenaga gred industri yang mampan di Malaysia dan sekiranya dilaksanakan nanti ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI) terutamanya dalam sektor pembuatan dan pusat data ke dalam negara.

“Kami komited untuk berkerjasama dengan ACWA Power bagi memastikan loji dan kemudahan ini dapat dibangunkan dengan jayanya, yang bukan sahaja akan menangani permintaan sumber air oleh industri yang kian meningkat tetapi juga selari dengan sasaran tenaga boleh baharu Malaysia,” katanya.

Brostrom pula menjelaskan, kolaborasi bersama UEM Lestra merupakan cerminan komitmen syarikat ke arah menyediakan penyelesaian air dan tenaga mampan.

“Dengan memanfaatkan kepakaran global ACWA Power dalam infrastruktur tenaga boleh baharu dan teknologi terkini seperti Osmosis Songsang Air Laut, kita dapat membantu memenuhi keperluan air bagi industri di Malaysia di samping menyumbang ke arah pembangunan infrastuktur hijau negara.

“Kerjsama ini menyokong sasaran kelestarian Malaysia, menarik pelaburan asing dan meletakkan penanda aras baharu bagi utiliti yang lebih inovatif dan kalis masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×