OGOS tahun lalu, Ketua Pegawai Operasi Proton, Li Chunrong memaklumkan bahawa model kenderaan elektrik (EV) pertama mereka dibina bersama dengan model Geely Galaxy E5.
Malah beliau mendakwa e.Mas 7 ini bukan hanya EV pertama Proton, tetapi model pertama Proton yang dibangun bersama dengan Geely.
Minggu ini, penulis memandu sebuah e.Mas 7 dan gagal melihat di mana betulnya kenyataan tersebut.
Apa yang pasti, elemen China memang ketara dan tidak ada langsung kesan-kesan genetik Proton. Malah, lukisan bangunan negara lain yang ditayangkan.
Mungkin, apa yang berlainan ialah varian pemanduan sebelah kanan (RHD), maka itulah nilai Proton kepada Geely.
Dari segi reka bentuk luaran, e.Mas 7 ini nampak terlalu ringkas, malah, ejaan nama e.Mas 7 adalah lebih kompleks dari reka bentuk kenderaan itu sendiri.
Versi Geely jauh nampak lebih mewah, terutama bampar hadapan Geely yang hadir dengan teknologi lampu tertanam di dalam lapisan plastik untuk kelihatan seperti sebuah gril canggih.
e.Mas 7 hanya menerima bampar hadapan kosong dengan lampu LED palsu di kiri kanannya.
Bahagian belakang nampaknya lebih baik, lampu LED merah bersambung dari hujung ke hujung, memberi bayangan kemewahan tanpa nampak melampau.
Kejayaan besar platform Geely ini ialah ruang kabin yang cukup besar. Dari segi dimensi, e.Mas 7 ini memang lebih besar dari X70 dan ruang dalam memang lebih lapang dari X90.
Tempat duduk belakang lebar dan dengan mudah memuatkan tiga penumpang dewasa dan lantai yang rata menambahkan lagi ruang keselesaan.
Tempat duduk itu juga boleh disandarkan ke belakang pada sudut yang banyak, menjadikan ia ruang yang cukup selesa.
Bahagian hadapan juga sama, dengan papan pemuka yang nampak canggih serta ruang simpanan barang di bahagian bawah konsol tengah.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa e.Mas 7 ialah Proton yang paling canggih, menjadikan model-modelnya yang lain seperti Saga dan Persona terasa seperti direka untuk tahun 90an.
Sistem audio FlyMe dengan 16 pembesar suara (hanya untuk varian Premium) pula menghasilkan mutu audio yang terbaik bagi syarikat kebanggan Tun Mahathir ini.
Ada dua pembesar suara yang diletakkan di dalam headrest tempat duduk pemandu, khusus untuk audio bagi panggilan telefon dan arahan sistem navigasi satelit.
Dua skrin resolusi tinggi diberikan, seperti EV dari China yang lain. Untuk varian Prime, sistem Head-Up Display turun disertakan.
Sayang sekali Proton masih gagal untuk menyediakan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto semasa pelancaran e.Mas 7. Namun begitu, Proton berkata ia akan hadir pada pertengahan tahun kelak.
Penulis kira ini sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) untuk Proton iaitu lancar dahulu, pasang kemudian.
Bagi model Premium yang diuji, ia menggunakan bateri 60.22 kWh LFP dengan jarak gerak 410 kilometer (km) [WLTP]. Untuk varian Prime, bateri 49.52 kWh LFP diberikan, dengan jarak gerak 345km WLTP.
Kedua-dua varian menggunakan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan, memberikan 218 PS dan 320 Nm.
Walaupun varian Premium ini menggunakan roda aloi 19-inci (satu inci lebih besar dari Prime), pemanduan kekal lancar. Malah, ia memberikan pemanduan yang sangat selesa, seperti yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz E-Class moden.
Ya, EV memang mempunyai kelebihan itu kerana kadar gegaran dari enjin telah lenyap, cuma ada EV yang masih terasa kasar. Untuk Proton e.Mas 7, walaupun harganya antara yang terendah berbanding dengan pesaing, ia tidak terasa murah.
Kualiti pemanduan yang selesa ini lebih sesuai untuk pemanduan yang santai kerana apabila dipandu laju di selekoh tajam, sistem gantungan gagal untuk mengekang berat e.Mas 7 ini dari beroleng.
Ini ialah satu kelemahan yang boleh diterima kerana pada julat harganya, ia masih memberikan prestasi yang baik.
Pecutan yang tegar 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.9 saat juga akan membuat pemandu teruja dan memudahkan pemanduan di dalam bandar.
Sistem ADAS lengkap menyelamatkan kaki dari lenguh ketika memandu di dalam kesesakan yang memuncak. Hanya hidupkan sistem ICC (Intelligent Cruise Control) dan e.Mas 7 ini akan memandu sendiri mengikut laluan yang betul, tetapi pemandu harus memastikan tangan masih di stereng.
Ruang but juga jelas besar, dan mempunyai lantai yang boleh dibuka untuk menambahkan lagi ruang kargo. Sayang sekali tidak ada penutup, membolehkan sesiapa sahaja melihat apa yang di dalam.
Penggunaan tenaga juga nampaknya cemerlang. Bila dicaj penuh di rumah, jarak gerak paling maksimum dipaparkan ialah dalam sekitar 370 km. Secara purata, penulis mendapat catatan 14.5kWh/100km, cukup jimat bagi EV sebesar ini.
Harga sebenar e.Mas 7 varian Premium ini ialah RM123,800 tetapi untuk 3,000 pembeli pertama, harga ditawarkan ialah RM119,800.
Secara ringkas, e.Mas 7 ini menawarkan pakej terbaik bagi mereka yang mahu mencuba menggunakan EV. Buat masa sekarang, ini ialah EV yang memberikan nilai paling maksimum untuk harga yang anda bayar dan harganya juga tidak begitu berat untuk dunia EV sekarang.
Syabas Geely dan untuk Proton, perlu buktikan EV ini ada campur tangan tempatan.-UTUSAN










