PETALING JAYA: Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research menjangkakan tahun yang stabil bagi bank-bank, dengan unjuran pertumbuhan keuntungan operasi sebanyak 5.3 peratus dan pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 5.7 peratus.
“Kami meramalkan pertumbuhan keuntungan operasi kumulatif sebanyak 5.3 peratus untuk tahun 2025 dan 2026, berbanding 7.1 peratus pada 2024.
“Ini berasaskan kepada pertumbuhan pinjaman domestik sebanyak 5.5 peratus, margin faedah bersih yang stabil dan nisbah kos ke pendapatan keseluruhan sebanyak 44.7 peratus pada 2025 berbanding 44.9 peratus pada 2024,” katanya dalam nota penyelidikan.
Selain itu, Maybank IB meramalkan pertumbuhan keuntungan bersih kumulatif sebanyak 5.7 peratus dan 5.5 peratus pada 2025 dan 2026 masing-masing.
“Kami meramalkan pulangan ke atas ekuiti yang stabil pada 10.6 peratus dan 10.6 peratus pada 2025 dan 2026 berbanding 10.5 peratus pada 2024,” katanya.
Sektor perbankan mengakhiri tahun 2024 dengan nota yang memuaskan, dengan semua bank di bawah liputannya memenuhi jangkaan dan AMMB Holdings Bhd. mencatatkan prestasi sedikit lebih baik.
Pendapatan operasi kumulatif meningkat sebanyak lapan peratus tahun ke tahun pada 2024, dengan pengembangan pinjaman kasar yang baik sebanyak 5.5 peratus, margin yang stabil dan pertumbuhan pendapatan bukan faedah yang kukuh sebanyak 16 peratus, dipacu oleh keuntungan pelaburan dan pertukaran mata wang asing.
“Tiga pilihan utama kami adalah Public Bank Bhd., AMMB dan CIMB Group Holdings Bhd. RM1.3 bilion rizab pengurusan Public Bank seharusnya mengekalkan kos kredit yang rendah, LPI Capital Bhd. akan meningkatkan pendapatan bukan faedah dan kami percaya kebimbangan mengenai penggantungan saham adalah terlalu dibesar-besarkan.
“Fokus AMMB pada pengurusan kos pembiayaan secara proaktif dan operasi perbankan perniagaan seharusnya menyumbang kepada momentum pertumbuhan, sementara ia berusaha untuk pembayaran dividen lebih tinggi,” ujarya.-UTUSAN










