SAMBUTAN Aidilfitri sememangnya dinanti-nantikan setiap tahun, namun dengan beberapa peristiwa penting yang berlangsung serentak seperti pembukaan sekolah pada Februari, kedatangan Ramadan dan Aidilfitri bulan ini, selain harga barang yang mahal menyebabkan ramai terpaksa berbelanja secara lebih berhemah.
Situasi ini mendorong orang ramai merancang kewangan dengan teliti bagi memastikan persiapan raya tetap meriah tanpa membebankan perbelanjaan harian.
Biarpun berdepan cabaran ekonomi, orang ramai tetap berusaha memastikan kemeriahan raya tidak terjejas dengan merancang perbelanjaan mengikut kemampuan.
Pekerja swasta, Bakhtiar Abu Serar berkata, konsep bersederhana dalam perbelanjaan amat penting bagi memastikan setiap pembelian dibuat mengikut bajet yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan beban kewangan di kemudian hari.
“Kos sara hidup yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini mendorong ramai pengguna mengamalkan konsep ‘buat sendiri’ (D.I.Y.) untuk mengurangkan perbelanjaan sempena sambutan Hari Raya.
“Selain itu, berbelanja mengikut kemampuan sendiri adalah langkah bijak, terutama dalam merancang kewangan agar tidak melebihi had perbelanjaan yang telah dirancang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, beliau tidak berhasrat menggunakan kemudahan beli sekarang bayar kemudian (BNPL) atau membuat pinjaman lain semata-mata untuk perayaan kerana ia hanya akan membebankan kewangan di masa hadapan.
“Sikap boros boleh memberi tekanan kewangan yang serius jika tidak dikawal.
“Dengan mengamalkan perbelanjaan secara sederhana, sambutan Hari Raya tetap meriah dan penuh kegembiraan bersama keluarga dan sanak saudara tanpa membebankan diri,” ujarnya.
Sementara itu, penjawat awam, Muhammad Izzuddin Rosli berkata, pada situasi kini, terutamanya cabaran ekonomi dan kenaikan harga barang memberi kesan kepada perbelanjaan harian rakyat.
“Walaupun begitu, semangat untuk menyambut Aidilfitri tetap ada, cuma dengan pendekatan yang lebih berhemat.
“Berbelanja mengikut kemampuan bukan bermaksud raya kurang meriah, tetapi lebih kepada kebijaksanaan dalam mengurus kewangan.
“Keutamaan terhadap keperluan asas seperti pakaian dan makanan tradisi adalah langkah yang baik, selain memanfaatkan jualan promosi untuk mendapatkan barangan pada harga lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Suzanna Abd Ghani berkata, beliau berusaha berbelanja secara bijak dengan mendahulukan keperluan penting sahaja dan memanfaatkan pembelian secara dalam talian.
“Perbelanjaan raya tahun ini, saya banyak memanfaatkan pembelian dalam talian bagi mendapatkan tawaran harga lebih rendah sebagai persediaan menyambut lebaran.
“Dengan adanya pembelian secara dalam talian yang menawarkan pelbagai diskaun, saya dapat membuat persiapan raya dengan lebih jimat dan sempurna,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kenaikan gaji pada bulan lalu sedikit sebanyak membantu dalam membuat persiapan persekolahan anak dan menyambut Aidilfitri.
“Tanpa kenaikan itu, perbelanjaan bulan ini agak terbatas kerana bajet yang ketat,” katanya.-UTUSAN










