KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Paramount Property menyasarkan jualan sebanyak RM1.5 bilion tahun ini berbanding RM1.4 bilion pada 2024, dipacu oleh pelancaran projek baharu serta penyempurnaan pembangunan sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jeffrey Chew Sun Teong berkata, pertumbuhan jualan itu didorong oleh kejayaan pelancaran projek pada tahun lalu, selain permintaan kukuh terhadap hartanah kediaman.
Beliau berkata, syarikat itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan aliran tunai, termasuk strategi untuk menguruskan jualan belum dibilkan yang kini mencecah RM1.6 bilion.
“Kami masih akan melancarkan projek baharu tahun ini, tetapi jumlahnya tidak terlalu banyak. Fokus utama adalah menyiapkan dan merekodkan hasil daripada projek yang telah dilancarkan.
“Kami perlu memastikan dana daripada jualan belum dibilkan ini dapat dimanfaatkan dengan baik, sama ada untuk pembayaran dividen kepada pemegang saham atau bagi memperkukuh kedudukan kewangan syarikat,” katanya semasa [embentangan pelabur dan media bagi Keputusan Tahun Kewangan 2024 di sini, semalam.
Dalam usaha merancakkan pertumbuhan jangka panjang, Paramount Property turut merancang untuk menambah simpanan tanah baharu dengan sasaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM2 bilion tahun ini.
“Untuk mencapai sasaran itu, kami perlu membeli tanah bernilai kira-kira RM400 juta. Kami menjangka 70 hingga 75 peratus pembiayaan akan diperoleh menerusi pinjaman, manakala bakinya akan dibiayai daripada dana tunai sedia ada,” katanya.
Syarikat itu juga menegaskan ia mengamalkan strategi penggantian tanah (land replenishment) dan bukan bank tanah (land banking), bagi memastikan kelangsungan projek pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, keputusan mengenai strategi penggunaan dana syarikat akan dibincangkan secara terperinci bersama lembaga pengarah pada pertengahan tahun ini.
“Kami mahu memastikan stok tanah yang mencukupi untuk pelancaran masa depan tanpa mengambil risiko menyimpan tanah terlalu lama tanpa pembangunan.
“Kami akan mempertimbangkan sama ada untuk meningkatkan pembayaran dividen, menyimpan lebih banyak tunai bagi pembelian tanah atau melabur dalam sektor lain yang berpotensi,” ujarnya.-UTUSAN










