Panduan elak beli barangan bukan keperluan menjelang Hari Raya

Panduan elak beli barangan bukan keperluan menjelang Hari Raya

TETAPKAN had bajet sebelum membuat persiapan raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri, budaya berbelanja menjadi sebahagian daripada persiapan utama dalam kalangan masyarakat.  

Pusat membeli-belah atau ekspo raya mulai sesak dengan orang ramai yang sibuk mencari kelengkapan seperti pakaian baharu, hiasan rumah dan pelbagai juadah tradisional bagi memeriahkan sambutan.  

Bagi peniaga, inilah waktu yang dinanti-nantikan untuk meningkatkan jualan melalui tawaran diskaun dan promosi menarik. 

Namun, dalam keterujaan membuat persiapan, ramai yang mudah terpengaruh dengan pembelian di luar keperluan sehingga menjejaskan kewangan selepas musim perayaan.  

Bagi mengelakkan beban hutang atau kekangan kewangan selepas Aidilfitri, berikut enam panduan praktikal untuk membantu orang ramai berbelanja secara berhemah.  

Tetapkan had perbelanjaan

Langkah pertama yang perlu diambil ialah menetapkan bajet khusus untuk persiapan raya.  

Kenal pasti jumlah maksimum yang mampu dibelanjakan dan pastikan anda mematuhi had tersebut bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan yang boleh membebankan kewangan.  

Buat senarai keperluan 

Sebelum membeli, sediakan senarai barangan penting seperti pakaian, makanan dan perhiasan rumah.  

Senarai ini dapat membantu anda membezakan antara keperluan dan kehendak, sekali gus mengelakkan pembelian secara impulsif.  

Bandingkan harga

Luangkan masa untuk membuat perbandingan harga di beberapa kedai atau platform dalam talian.  

Tindakan ini bukan sahaja membolehkan anda mendapatkan tawaran terbaik, malah memastikan setiap pembelian dilakukan pada harga berpatutan.  

Guna wang tunai atau kad debit

Bagi mengelakkan perbelanjaan di luar kemampuan, amalkan penggunaan wang tunai atau kad debit.  

Penggunaan kad kredit boleh mendorong perbelanjaan tidak terkawal kerana kemudahan berhutang yang akhirnya membebankan apabila tiba masa untuk membayar.  

Utamakan kualiti berbanding kuantiti 

Apabila membuat pembelian, pilih produk berkualiti tinggi yang tahan lama meskipun harganya sedikit mahal.  

Mengutamakan kualiti berbanding kuantiti bukan sahaja menjimatkan dalam jangka panjang tetapi juga mengelakkan pembaziran.  

Rancang pembelian lebih awal

Elakkan membuat persiapan di saat akhir kerana ia boleh mendorong keputusan tergesa-gesa yang menyebabkan perbelanjaan melebihi bajet.  

Sebaliknya, mulakan pembelian lebih awal untuk memanfaatkan diskaun dan promosi yang ditawarkan sebelum Ramadan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN