PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalam (OPR) dijangka kekal pada kadar semasa pada 3.0 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini.
Ini seiring kestabilan ekonomi negara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar 2024 pada 5.1 peratus serta tekanan inflasi yang terkawal 1.8 peratus dalam tempoh sama.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Norlin Khalid berkata, kestabilan ringgit dan keseimbangan dalam dasar fiskal dan monetari turut menjadi pertimbangan utama.
“Berdasarkan anggaran dalaman, saya menjangka OPR akan kekal pada 3.0 peratus, selaras dengan pendekatan dasar monetari semasa yang cenderung bersifat neutral.
“Tiada tekanan ketara yang memerlukan kenaikan kadar faedah buat masa ini, memandangkan inflasi masih berada dalam julat yang boleh dikawal dan pertumbuhan ekonomi tidak menunjukkan keperluan mendesak untuk sebarang pelonggaran dasar.
“Ia berbeza dengan keputusan Bank of Thailand baru-baru ini yang telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, sekiranya OPR dikekalkan, faktor utamanya adalah kestabilan makroekonomi semasa, termasuk inflasi yang terkawal serta kestabilan ringgit yang disokong oleh aliran modal yang lebih seimbang.
“BNM juga perlu memastikan bahawa kos pembiayaan tidak terlalu tinggi sehingga menjejaskan perbelanjaan isi rumah dan pelaburan sektor swasta.
“Sebaliknya, jika OPR dinaikkan, ia mungkin berpunca daripada tekanan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan, terutama akibat faktor luaran seperti ketidaktentuan harga minyak global atau penyusutan nilai ringgit yang berterusan.
“Selain itu, langkah ini juga boleh diambil sekiranya BNM ingin memperkukuh daya tarikan ringgit dalam pasaran kewangan antarabangsa bagi mengelakkan aliran keluar modal,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut berpendapat sama bahawa OPR akan kekal pada 3.0 peratus disebabkan keadaan ekonomi domestik baik dan terkawal.
“Kadar inflasi juga terkawal pada 1.7 peratus pada Disember lalu dan dijangka kekal sehingga pertengahan tahun apabila pelaksanaan subsidi bersasar RON95 oleh kerajaan.
“Ia dijangka mengimbangkan keperlahanan eksport negara yang dijangka pada awal tahun 2025, iaitu sehinggalah perdagangan dunia berjaya mengubah suai perubahan besar yang dilakukan oleh dasar-dasar baharu Amerika Syarikat (AS).
“Kesimpulannya, ekonomi domestik berada dalam keadaan stabil untuk menjadi teras kepada pertumbuhan KDNK negara untuk 2025,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, prestasi eksport negara yang dijangka terganggu oleh pelbagai perubahan polisi AS selepas Donald Trump mengambil alih menjadi presiden menjadi satu kegusaran.
“Sekiranya ekonomi dunia perlahan pada pertengahan tahun ini dan berlaku peningkatan kadar inflasi dunia serta Malaysia disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik yang memberikan kesan besar kepada ekonomi negara, maka BNM terpaksa menilai semula dasar monetari negara pada masa itu,” katanya.-UTUSAN










