BAGI warga bandar raya Shah Alam, bungkusan nasi lemak dengan logo Nasi Lemak Capt Max mungkin bukan asing kerana dijual di beberapa restoran mamak, stesen minyak dan kafe.
Logo yang mempunyai gambar seorang juruterbang memegang dulang diisi penuh bungkusan nasi lemak berlatarbelakangkan kapal terbang dan menara kawalan trafik lapangan terbang sudah cukup menarik perhatian mereka yang melihat untuk membeli serta menikmatinya.
Pengusahanya, Shahmil Amal Mohd. Mukhtar berkata, sebanyak 500 bungkus diedarkan sehari di tempat-tempat tersebut dari Isnin hingga Khamis manakala Jumaat hingga Ahad meningkat hingga 700 bungkus.
Juruterbang pesawat peribadi ini bercadang untuk menghasilkan 1,000 bungkus sehari menjelang akhir tahun ini dan sasaran ini jika tercapai maka akan dibukanya restoran berkonsepkan jualan nasi lemak dan pastri.
“Kita letak sasaran agak jauh ke belakang iaitu pada akhir tahun sebab persaingan sengit daripada pengusaha-pengusaha nasi lemak lain.
“Lagipun kenaikan harga bahan mentah yang mendadak, begitu drastik naiknya. Kalau dulu harga santan RM10 hingga RM12 sekilogram, sekarang RM16 hingga RM20,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai persaingan sengit tersebut, beliau menjelaskan, ia sebenarnya datang daripada fiil dan ragam pelanggan yang pelbagai.
Ada pelanggan yang memilih kerana harga, tidak peduli pada rasa asalkan murah.
Ada pula pelanggan yang memilih rasa. Ada yang suka sambal manis dan ada yang gemar sambal pedas.
Kata Shahmil Amal, bagi sambal Nasi Lemak Capt Max, rasanya tengah-tengah. Tidak terlalu pedas, manis sangat pun bukan.
Pendek kata, orang dewasa boleh makan, kanak-kanak pun sama atau dalam perkataan lebih mudah, iaitu versatil.
Ditanya kenapa mahu juga ceburi perniagaan nasi lemak sedangkan tahu cabaran-cabaran sedemikian, jawabnya, pada ketika itu beliau hanya ada kepandaian dan pengetahuan dalam membuat nasi lemak.
Lagipun jelasnya, nasi lemak adalah makanan ruji masyarakat di negara ini.
Menurut beliau, perniagaannya bermula pada 2012 tetapi dihentikan pada 2014 kerana masalah peribadi dan diteruskan sejak 2020 sehingga kini.
Katanya, sambal Nasi Lemak Capt Max merupakan resipi daripada arwah nenek sebelah isteri yang berasal dari Hulu Langat, Selangor, manakala memasak nasi lemak dipelajarinya daripada arwah ibu di Taiping, Perak.
Apa yang membezakan nasi lemak bungkus keluarannya dengan pengusaha lain adalah cara masakan nasinya.
“Kebanyakan nasi lemak bungkus, nasinya ditanak atau masak macam biasa.
“Tapi kami punya kukus dengan sangat sempurna. Tiga kali nasi dikukus hinggalah dapat nasi lemak sebenar,” ujarnya.
Selain itu, sambalnya dimasak dalam tempoh lama iaitu minimum 10 jam supaya hasil masakannya benar-benar matang.
“Kalau sambal masak sekejap-sekejap, pedasnya jadi ‘tajam’. Kita dapat rasa cili masih mentah, belum cukup masak,” katanya.
Bagi lokasi untuk membuka restoran nanti, Shahmil Amal memilih Shah Alam atas alasan populasi terdiri daripada majoriti orang Melayu.
Namun, beliau tidak menafikan kaum-kaum lain juga ramai yang menggemari nasi lemak.
Bagi merealisasikan perancangan tersebut iaitu membuka kedai makan apabila mencecah 1,000 bungkus sehari, beliau sedang mencari ejen-ejen bagi meningkatkan jumlah edaran untuk kawasan-kawasan Klang, Subang Jaya, Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, tiada sebarang kriteria ditetapkannya untuk menjadi ejen dan boleh dijual sama ada di premis masing-masing atau mengedarnya ke tempat lain.
Bagi yang mahu menjadi ejen Nasi Lemak Capt Max boleh hubungi Shahmil Amal di talian 0133331177 atau TikTok Nasi Lemak Capt Max.-UTUSAN










