KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merancang untuk mengurangkan pegangan aset strategiknya daripada 56 peratus kepada 35 peratus di bawah ‘Project Earth’ dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mengurangkan pendedahan sambil mengekalkan kawalan.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, aset strategik menyumbang 56 peratus daripada RM13.6 bilion dana yang diuruskan.
“Melalui pemulihan modal ini, sebarang transaksi atau pengewangan akan membolehkan kami mendapatkan kembali modal yang dilaburkan dalam syarikat-syarikat ini secara tersusun pada nilai yang sewajarnya dan melabur semula dalam kelas aset lain di mana terdapat kekurangan.
“Aset LTAT yang dianggap strategik merangkumi anak syarikat milik penuh, Boustead Holdings Bhd., pegangan 54.9 peratus dalam Pharmaniaga Bhd. serta pegangan 22 peratus dalam Affin Bank Bhd.,” katanya pada taklimat media Dividen LTAT 2024 di sini, semalam.
Selain aset strategik, beliau berkata, portfolio LTAT turut merangkumi hartanah iaitu 11.8 peratus, diikuti ekuiti awam (9.4 peratus), pendapatan tetap (9.3 peratus), ekuiti persendirian (7.8 peratus) serta tunai dan instrumen pasaran wang (5.8 peratus).
Tahun lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa LTAT untuk mempelbagaikan pelaburannya dan tidak hanya menumpukan kepada Boustead Holdings Bhd.
Project Earth merupakan satu penyusunan semula yang mengambil kira keperluan untuk memupuk syarikat-syarikat utama yang mempunyai manfaat jangka panjang serta prospek pertumbuhan.
Selain itu, Mohammad Ashraf berkata, projek itu telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 13 Disember 2024.
“Tiga objektif utama ialah meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti, memastikan setiap anak syarikat kekal berdaya saing dalam industri masing-masing serta memastikan setiap syarikat operasi distrukturkan di bawah pegangan saham yang paling optimum.
“Jadi, pelan strategik yang telah disesuaikan di bawah Project Earth ini melibatkan tiga objektif berbeza yang bertindak sebagai satu amanah. Sememangnya, kami konsisten dalam usaha mengurangkan tahap pendedahan.
“Kami juga mahu mewujudkan jurang positif antara kos pelaburan dalam kunci kira-kira kami dan pelbagai nilai individu dalam kunci kira-kira perniagaan masing-masing,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyenaraian semula Boustead Plantations Bhd. adalah antara contoh yang berpotensi dilaksanakan menerusi Project Earth.
“LTAT tidak boleh dipaksa menjual aset dengan harga rendah. Apa jua urus niaga, kami perlu mendapatkan semula modal yang telah dilaburkan dalam syarikat berkenaan secara tersusun pada nilai yang sepatutnya dan melaburkan semula ke dalam kelas aset lain yang masih kurang dalam portfolio kami,” katanya.
Selain mengurangkan pegangan strategik LTAT, beliau menjelaskan, terdapat dua lagi objektif utama pelan penstrukturan semula terbabit iaitu membina jurang positif antara kos pelaburan dana dalam aset strategik berbanding nilai wajarnya serta memperoleh dividen kompetitif yang mampan daripada aset strategik.
“LTAT juga berhasrat untuk meningkatkan peruntukan aset pendapatan tetap kepada 20 peratus hingga 25 peratus serta mempertimbangkan pelaburan dalam dana ekuiti persendirian berbanding pelaburan langsungnya dalam ekuiti persendirian yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, LTAT juga sedang meneroka kerjasama serantau bagi meningkatkan pertumbuhan perniagaannya.
“Dana itu melihat peluang untuk mengukuhkan perkongsian dalam kalangan negara ASEAN, memanfaatkan peranan kepimpinan Malaysia bagi merangsang kerjasama ekonomi, sejajar dengan strategi LTAT yang lebih luas dalam mengimbangi keutamaan domestik sambil memanfaatkan sinergi serantau.
“Bagi sektor pertanian dan perladangan khususnya, kami mempunyai anak syarikat majoriti yang beroperasi di Indonesia dalam perniagaan yang sama,” katanya.-UTUSAN










