PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC dan Kesatuan Pekerja Johor Port (JPU) menandatangani perjanjian perkhidmatan bersama (CA) baharu dan merupakan CA ketujuh sejak penubuhan JPU pada 1998.
Ini adalah hasil daripada rundingan yang membina dan kolaboratif antara Johor Port dan JPU serta menetapkan terma dan syarat pekerjaan bagi pekerja-pekerja kesatuan di Johor Port untuk tempoh lima tahun akan datang, dari 2025 hingga 2029.
Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, kepentingan CA tersebut mengutamakan nilai-nilai saling hormat-menghormati, kerjasama dan impak positifnya terhadap operasi pelabuhan dan kesejahteraan pekerja.
“CA kami ini adalah yang ketujuh dengan JPU, mengesahkan komitmen teguh kami terhadap pekerja-pekerja kami yang merupakan tulang belakang Johor Port.
“Ia mencerminkan kepercayaan kami terhadap komunikasi terbuka dan penyelesaian masalah secara kolaboratif, meletakkan asas yang kukuh untuk kejayaan bersama dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk memupuk persekitaran kerja yang harmoni, positif dan produktif, sambil menyokong pertumbuhan berterusan Johor Port sebagai pelabuhan serantau yang terkemuka.
Sementara itu, Presiden JPU, Suratmin Alwee berkata, perjanjian ketujuh itu mewakili pencapaian penting bagi ahli-ahlinya, menjamin faedah yang dipertingkatkan dan keadaan kerja yang lebih baik untuk lima tahun akan datang.
“Kami menghargai pendekatan membina yang diambil oleh Johor Port Berhad sepanjang proses rundingan, yang menunjukkan penghormatan mereka terhadap ahli-ahli kami dan komitmen mereka untuk memupuk tempat kerja yang adil dan saksama,” ujarnya.
Perjanjian bahru ini menambah baik faedah sambil meningkatkan terma dan syarat pekerjaan yang sedia ada.
Ia direka untuk meningkatkan daya saing dalam industri, mendorong kepuasan pekerja dan menggalakkan hubungan perindustrian yang harmoni di Johor Port.-UTUSAN










