PETALING JAYA: Hi Mobility Berhad (Hi Mobility) membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada RM1.27 sesaham, premium 4.1 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.22, sebelum melonjak ke paras tertinggi dalam sesi pagi pada RM1.33.
Syarikat berjaya mengumpul sebanyak RM115.9 juta daripada IPO dan sebanyak RM70 juta atau 60.4 peratus daripada dana itu akan digunakan bagi pengembangan bas, termasuk pemerolehan bas elektrik dan enjin pembakaran dalaman.
Selain itu, sebanyak RM15 juta (12.9 peratus) pula diperuntukkan untuk pengembangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV), yang akan dipasang di beberapa depot dan laluan terpilih.
Bagi RM5 juta (4.4 peratus) akan diperuntukan dalam peningkatan perkakasan, termasuk integrasi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik pemantauan kenderaan dan pengurusan pemandu, manakala baki RM25 juta (22.3 peratus) akan digunakan untuk modal kerja serta menampung kos penyenaraian.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Chern Chen berkata, syarikat kini merancang memperluaskan perkhidmatannya ke kawasan lain di Malaysia, termasuk Malaysia Timur selepas beroperasi di Johor Bahru, Melaka dan Lembah Klang.
“Permintaan kukuh, terutama di selatan Johor menjadi faktor utama pengukuhan operasi sedia ada, selain menyediakan kemudahan tambahan untuk pelawat.
“Selain mengukuhkan kehadiran di Johor Bahru, Melaka dan Lembah Klang, kami turut meneliti peluang di kawasan lain bagi memenuhi keperluan pengguna,” katanya selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Mengulas mengenai perancangan memperkenalkan bas elektrik di Lembah Klang, syarikat itu menyambut baik inisiatif Prasarana Malaysia Bhd. yang Akan membuat peralihan sepenuhnya kepada EV secara berperingkat.
“Kami melihat ini sebagai satu perkembangan positif dan bersedia menyumbang ke arah usaha elektrifikasi pengangkutan awam.
“Sebagai syarikat swasta yang menjadi antara perintis dalam sektor EV, kami bukan sahaja membangunkan bas elektrik, tetapi juga perisian dan infrastruktur berkaitan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, syarikat itu tidak menganggap Prasarana atau Rapid KL sebagai pesaing kerana mandat mereka sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbeza dengan entiti swasta.
“Fokus kami adalah kepada keuntungan pemegang saham dan kecekapan kos, manakala GLC lebih menumpukan kepada liputan perkhidmatan.
“Oleh itu, kami melihat diri kami sebagai pelengkap kepada inisiatif elektrifikasi pengangkutan awam negara,” katanya.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, syarikat itu menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatannya terus meningkat, khususnya di selatan Johor dan kawasan lain di Malaysia.
“Peralihan kepada EV bergantung kepada dasar kerajaan kerana kami terlibat dalam banyak kontrak kerajaan.
“Jika kerajaan mewajibkan penggunaan EV, kami akan menyesuaikan diri. Namun, jika diberi pilihan, kami pasti akan lebih memfokuskan kepada EV,” katanya.-UTUSAN










