Harga emas dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global 

Harga emas dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga emas akan sentiasa dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi global yang akan menentukan turun naik harga di pasaran, menurut Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Louis Ng. 

Beliau berkata, kestabilan harga emas bergantung kepada faktor geopolitik dan ekonomi di mana ekonomi yang kurang stabil akan memperkukuhkan harga emas global. 

“Oleh itu, industri emas tempatan hanya boleh mengambil langkah-langkah alternatif untuk beradaptasi dengan perubahan harga emas yang semakin tidak stabil,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Ng, pihaknya akan menggalakkan pengeluaran pelbagai jenis produk emas dengan denominasi yang lebih kecil seperti jongkong emas 0.25 gram, 0.5 gram dan satu gram syiling emas dan barang kemas yang bersaiz kecil dan berkemampuan dari segi harga, untuk memenuhi permintaan pelbagai segmen pasaran.

“Tambahan lagi, permintaan budaya tetap kekal seperti musim perayaan, perkahwinan dan sebagainya. 

“Pembeli cenderung memilih barang kemas yang lebih ringan, yang juga merupakan kekuatan pembuatan Malaysia untuk menghasilkan barang kemas yang cantik,” katanya. 

Selain itu, Louis turut memperkenalkan produk inovatif seperti emas patuh syariah dan emas dengan reka bentuk khas untuk menarik lebih ramai pelabur dan pengguna.

“Kami juga memanfaatkan platform e-dagang dan aplikasi digital untuk memudahkan pembelian dan penjualan emas secara atas talian, di mana kos runcit dapat dikurangkan.

“Dalam pada itu, Pameran Perdagangan Emas dan Barang Kemas Malaysia 2025 bakal diadakan pada 9 hingga 11 Mei di Spice Arena, Pulau Pinang bukan hanya untuk perniagaan ke perniagaan (B2B) tetapi juga terbuka kepada pasaran perniagaan kepada pengguna (B2C), untuk menarik pembeli domestik dan antarabangsa,” katanya. 

Ketika ini, lebih 100 kedai emas berdaftar dengan MGA termasuk rangkaian peruncitan di seluruh negara. 

Louis memaklumkan, peningkatan harga emas baru-baru ini terdapat kebaikan dan keburukannya.

“Kebaikannya ialah penyimpan atau pelabur emas akan mengaut keuntungan yang luar biasa, manakala keburukannya ialah para pedagang emas berkemungkinan mendapati perniagaan emas mereka akan serba sedikit terjejas kerana harga pasaran emas yang tinggi pada masa kini mengakibatkan harga jualan emas runcit meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Louis berkata, ketegangan global dan ketidakstabilan ekonomi telah meningkatkan permintaan terhadap emas sebagai aset selamat.

“Bank pusat terutamanya di China, telah meningkatkan rizab emas mereka seca besar-besaran, demi memberi sokongan struktural kepada pasaran.

“Kebimbangan terhadap kemungkinan tarif import emas oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) telah mendorong peningkatan penghantaran emas dari London ke New York, yang memberi kesan kepada dinamik perdagangan emas global.

“Tekanan inflasi dan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS telah menjadikan emas lebih menarik kepada pelabur yang ingin melindungi nilai daripada penyusutan mata wang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN