TAHUN lalu, jualan kenderaan elektrik atau EV cuma 2.54 peratus dari jumlah keseluruhan jualan kenderaan negara (817,000 unit).
Tahun ini, angka itu dijangka meningkat kepada 3.0 peratus, masih lagi satu jumlah yang kecil berbanding dengan ‘peperangan pendapat’ dari peminat EV dan yang lain di media sosial.
Namun begitu, kita tak dapat menolak bahawa jualan EV hanya akan meningkat dan untuk tempoh tiga tahun yang lalu, jenama dari China sudah mula mendominasi pasaran tempatan dengan 20 atau lebih model EV yang ditawarkan.
Kali ini penulis pergi ke Bangkok, Thailand untuk mencuba model Honda e:N1, sebuah EV yang akan dilancarkan di Malaysia dalam tahun ini.
Honda e:N1 boleh dikatakan sebagai model EV paling ‘marhaen’ yang akan diperkenalkan ke pasaran tempatan kerana sebelum ini, hanya model-model premium seperti Lexus sahaja yang membawa masuk model EV.
Honda e:N1 ini dibina menggunakan platform eN-Architecture F, di mana F merujuk kepada platform dengan enjin atau motor elektrik pada gandar hadapan.
Jika anda lihat EV ini mirip kepada bentuk Honda HR-V, anda memang tidak salah.
Ia memang dibina di atas platform yang hampir sama, cuma dengan perubahan ruang bateri di bahagian bawah.
Bahagian hadapan memang sedikit berbeza kerana ia tidak lagi perlukan gril dan liang-liang udara. Komponen itu digantikan dengan penutup ruang pengecas yang boleh dibuka menggunakan butang, tetapi perlu ditutup secara manual.
Pengecas terbina AC 11 kW dan DC 78 kW mempunyai kebolehan untuk mengecas bateri 68.8 kWh dari 30 ke 80 peratus dalam tempoh 40 minit (pengecas DC sahaja).
Bateri lithium ion itu pula memberikan jarak gerak sejauh 412 kilometer (km) megikut kiraan WLTP.
Di bahagian belakang, lampu LED dengan lensa putih mewujudkan sedikit ‘semangat berteknologi tinggi’ dan logo H digantikan dengan ejaan ‘Honda’.
Ruang kabin juga sebenarnya masih menggunakan komponen HR-V, cuma papan pemuka kini diganti oleh paparan LED TFT 10.25 inci berdefinisi tinggi.
Skrin sesentuh menjadi fokus utama papan pemuka e:N1, dengn saiz 15.1 inci menegak dan dibahagikan kepada tiga kawasan paparan iaitu bahagian atas untuk Apple CarPlay atau Android Auto (wireless) atau mod pemain audio atau navigasi terbina.
Kemudian, bahagian tengah untuk fungsi kenderaan atau fungsi pemain audio/radio dan bahagian bawah lebih kepada sistem pendingin hawa.
Ruang penumpang memang sama seperti di dalam HR-V dan tidak ada bumbung panoramik atau ‘sunroof’ untuk e:N1 spesifikasi Thailand ini.
Ruang but juga sama, cuma tidak ada tayar gantian dan lantainya boleh direndahkan lagi untuk menambah ruang.
Secara keseluruhan, kabin dalam e:N1 ini sama seperti HR-V dan tidak kedekut seperti Toyota Corolla Cross.
Penulis memandu Honda e:N1 dari Bangkok ke Pattaya, perjalanan dalam 170 km yang melalui laluan bandar yang cukup sesak, laluan persekutuan yang berliku-liku dan lebuh raya berturap simen.
Honda e:N1 ini memang tidak akan menarik perhatian ramai dari segi rupa paras dan juga ruang kabin. Ia nampak seperti ‘biasa-biasa’ dan itu mungkin apa yang mahu dicapai oleh Honda.
Ia tidak mahu perubahan drastik dari kenderaan berenjin (ICE) ke EV kerana ada pembeli yang mahukan sesuatu yang lebih mudah digunakan.
Namun begitu, pemanduan Honda e:N1 ialah di mana ia berbeza dari HR-V.
Ia lebih lancar, lebih senyap dan jauh lebih selesa. Honda menghabiskan sejumlah wang dan masa yang besar untuk mencapai taraf pemanduan sematang ini bagi sebuah EV.
Jika kita bandingkan dengan EV di bawah RM150,000 seperti dari BYD, Proton, MG, Chery dan sebagainya, Honda e:N1 jauh lebih menarik.
Ia mungkin tidak sehebat EV premium dengan platform mahal seperti BMW, X-Peng, Zeekr, Volvo dan sebagainya tetapi untuk Honda, e:N1 ini sudah boleh dikatakan sebuah kenderaan dengan ciri-ciri pemanduan premium.
Malah, penulis rasakan Honda e:N1 ini 10 kali ganda lebih sedap dipandu dari HR-V sendiri. Ia tidak bising, ia mempunyai pecutan yang jauh lebih tegar dan ia kurang gegaran.
Perjalanan dari Bangkok ke Pattaya melihat sebanyak 52 peratus tenaga elektrik yang digunakan dan cara pemanduan kadang-kala sedikit agresif.
Tiga hari memandu Honda e:N1 ini, penulis boleh melihat betapa stabil penggunaan bateri dan bacaan jarak gerak yang dberikan.
Ia tidak menurun secara mendadak dan hantaran tenaga juga lancar, mengurangkan kesan-kesan penumpang mabuk.
Honda Malaysia akan melancarkan model e:N1 dalam pertengahan tahun ini, namun harga masih lagi menjadi tanda tanya.
Honda HR-V Hybrid dijual dalam lingkungan harga RM142,000 dan dipasang secara pemasangan tempatan (CKD).
Sekiranya Honda Malaysia mahu memperkenalkan EV mereka di Malaysia, reka bentuk, kelengkapan, teknologi dan harga akan menjadi faktor-faktor penentu.
Mungkin Honda perlu rugi sedikit dan untung kemudian?-UTUSAN










