Cara elak membazir beli makanan di bazar Ramadan

Cara elak membazir beli makanan di bazar Ramadan

RANCANG terlebih dahulu menu yang mahu dibeli di bazar Ramadan bagi mengelakkan pembaziran.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Ramadan bukan sahaja bulan untuk beribadah, tetapi juga bulan di mana kita sering terjebak dengan pembaziran makanan. 

Godaan makanan di bazar Ramadan dan keinginan membeli secara berlebihan boleh menyebabkan makanan tidak dihabiskan dan akhirnya dibuang.

Pada minggu ini, Ringgit berkongsi panduan untuk mengelakkan pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan agar lebih berhemah dalam berbelanja dan tidak membazir.

Rancang menu harian

Sebelum membeli makanan atau memasak, pastikan anda sudah merancang menu berbuka dan sahur. 

Dengan cara ini, anda boleh membeli bahan makanan mengikut keperluan tanpa berlebihan.

Selain itu, ia juga membantu anda mengawal selera agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan makanan di bazar Ramadan.

Buat senarai belian dan patuhi bajet

Setiap kali ke bazar Ramadan atau pasar raya, buat senarai makanan yang ingin dibeli dan patuhi bajet yang telah ditetapkan.

Jangan beli makanan mengikut nafsu kerana lapar, sebaliknya beli apa yang diperlukan sahaja.

Kawal kuantiti makanan

Sediakan makanan dalam jumlah yang mencukupi untuk keluarga. Jika memasak sendiri, gunakan konsep suku-suku separuh iaitu suku karbohidrat, suku protein, dan separuh sayur atau buah.

Ini bukan sahaja mengelakkan pembaziran tetapi juga memastikan pemakanan yang lebih sihat.

Elakkan kunjungan kerap ke bazar Ramadan

Jika ingin membeli di bazar Ramadan, cuba hadkan lawatan kepada sekali atau dua kali seminggu sahaja.

Keadaan lapar boleh membuatkan kita membeli lebih banyak daripada yang diperlukan.

Simpan lebihan makanan dengan betul

Jika ada makanan berlebihan, simpan di dalam peti sejuk dan panaskan untuk dimakan keesokan harinya.

Gunakan semula lebihan makanan untuk dijadikan hidangan lain, seperti nasi lebihan dibuat nasi goreng atau ayam goreng dijadikan lauk dalam mi atau nasi berlauk.

Kongsi rezeki dengan orang lain

Jika membeli atau memasak terlalu banyak, pertimbangkan untuk berkongsi dengan jiran, rakan atau golongan yang memerlukan.

Ini bukan sahaja mengelakkan pembaziran tetapi juga meningkatkan keberkatan dalam rezeki anda.

Dengan mengamalkan langkah-langkah ini, anda bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan tetapi juga membantu mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×