MEMBELI juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan sudah menjadi antara rutin yang bukan sahaja digemari oleh orang Islam yang berpuasa malah turut digemari masyarakat bukan Islam yang mahu merasakan kemeriahan suasana dan keenakan pelbagai juadahnya.
Dengan kewujudan bazar Ramadan ini juga menjadi lubuk rezeki buat para peniaga yang semestinya mengharapkan kehadiran orang ramai akan memberikan keuntungan lebih besar berbanding di bulan-bulan yang lain.
Namun, peniaga juga tidak dapat mengelakkan pembaziran apabila juadah yang disediakan untuk para pembeli tidak habis terjual kerana sudah tentu juadah tersebut tidak boleh dibawa ke hari esok bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan, makanan basi dan sebagainya.
Ini sekali gus mendatangkan persoalan bagaimanakah mereka menyelesaikan masalah lebihan makanan tersebut?
Pengarah Perhubungan Strategik MySaveFood, Muhd. Naquiddin Hazmi berkata, menyedari masalah tersebut, pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan lebihan makanan di bazar bagi mengelakkan pembaziran seterusnya memberi impak besar kepada komuniti.
“Setiap hari selepas berbuka puasa, kami akan ke bazar Ramadan yang terlibat untuk mengumpulkan lebihan makanan tidak terjual yang masih elok dan boleh dimakan seperti kuih-muih, kebab, roti john dan air minuman.
“Para sukarelawan kami akan menyusun makanan tersebut dalam bentuk pek bagi memudahkan proses pengagihan nanti.
“Lebihan makanan yang dikumpul ini kemudian disalurkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan masjid terpilih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, dalam tempoh sembilan hari pertama Ramadan, hampir 18,000 kilogram (kg) makanan dan minuman berjaya dikumpulkan daripada 17 bazar ramadan di seluruh negara menerusi inisiatif MySaveFood.
Ujarnya, bazar di Wangsa Maju dan Kampung Baru mencatatkan kutipan lebihan makanan tertinggi, dengan purata 200 hingga 300kg sehari dan boleh meningkat sehingga 400kg sehari jika cuaca hujan.
“Nilai makanan yang diselamatkan sepanjang tempoh itu dianggarkan berjumlah RM218,539, sementara pengurangan jejak karbon yang dicatatkan adalah sebanyak 33,652.8 kg gas rumah hijau.
“Kejayaan ini juga tidak mungkin dicapai tanpa komitmen 1,244 orang sukarelawan yang membantu operasi di bazar-bazar terlibat,” katanya.
Jelasnya, secara purata sebanyak 92.82 kg makanan dan minuman berjaya diselamatkan dari satu bazar dalam sehari namun angka ini bergantung kepada faktor seperti jumlah peniaga yang bekerjasama, jenis makanan yang dijual, keadaan cuaca serta saiz bazar.
“Dianggarkan terdapat 1,000 bazar di seluruh negara dengan purata operasi 25 hari setiap bazar. Jika MySaveFood dapat beroperasi di semua bazar ini, sekitar 2.32 juta kilogram makanan boleh diselamatkan sepanjang Ramadan.
“Bagaimanapun, terdapat cabaran dalam melaksanakan inisiatif ini secara meluas, terutamanya dari segi kekurangan tenaga kerja dan dana operasi.
“Kami kekurangan ketua operasi di bazar Ramadan di seluruh negara, menyebabkan kami tidak dapat melaksanakan usaha ini di semua lokasi bazar,” jelasnya.
Antara cadangan penambahbaikan yang diketengahkan termasuk memperluaskan program ke pasar malam selepas bulan Ramadan serta mengintegrasikan kempen lain seperti ‘Bawa Bekas Sendiri’, ‘Sifar Plastik’ dan ‘Makan Sampai Habis’.
Beliau juga mencadangkan agar lebih banyak komuniti tempatan, persatuan belia serta Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) terlibat dalam menguruskan inisiatif ini dengan bimbingan Pemuda GEMA.
“Akademi MySaveFood boleh diwujudkan bagi melatih lebih ramai ketua operasi untuk menggerakkan inisiatif ini di lebih banyak bazar.
“Selain itu, penggunaan aplikasi seperti Remeal dengan ciri geolokasi dan log masuk penjual dapat memudahkan proses agihan lebihan makanan kepada penerima yang memerlukan.
Muhd. Naquiddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli makanan secara berlebihan di bazar Ramadan, kerana pembaziran di rumah sukar diuruskan berbanding lebihan makanan di bazar yang masih boleh diagihkan.
“Rancang perbelanjaan dengan bijak dan beli makanan mengikut keperluan sahaja. Jika teringin mencuba pelbagai jenis makanan, pecahkan pembelian mengikut hari, bukan sekali gus.-UTUSAN










