PETALING JAYA: Persidangan Perkhidmatan 2025 menekankan kepentingan sektor perkhidmatan sebagai tunjang ekonomi negara yang menyumbang 59.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024.
Persidangan yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu bertemakan ‘Meningkatkan Sektor Perkhidmatan Malaysia Melalui Inovasi, Kepimpinan Serantau dan Pertumbuhan Mapan’.
MPC dalam kenyataan berkata, persidangan ini turut menyeru sektor perkhidmatan swasta dan penggubal dasar untuk bekerjasama mempercepatkan transformasi produktiviti, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada global.
“Persidangan ini menghimpunkan pemegang kepentingan utama daripada kerajaan, industri, dan badan profesional bagi merangka strategi masa depan pembangunan sektor perkhidmatan Malaysia.
“Ketika negara bersiap sedia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekonomi ASEAN, sektor perkhidmatan kini berada di satu persimpangan kritikal.
“Dengan Malaysia bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, Persidangan SERV25 yang julung kali diadakan oleh MITI menjadi satu langkah strategik untuk melonjakkan daya saing sektor perkhidmatan negara, seiring dengan kekuatan sektor pembuatan yang sekian lama menjadi asas ekonomi,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah dalam pembentangannya di persidangan tersebut mengupas analisis mendalam mengenai prestasi sektor perkhidmatan Malaysia berbanding Korea Selatan.
Katanya, statistik menunjukkan bahawa produktiviti sektor perkhidmatan Korea Selatan pada 2023 mencapai AS$92,694 per pekerja, hampir 1.5 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia yang mencatatkan AS$59,750.
“Jurang ini jelas menunjukkan kepentingan transformasi digital, pembangunan modal insan dalam teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi serta pelaburan strategik dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Malaysia perlu mempercepatkan usaha ini bagi meningkatkan daya saing global,” jelasnya.
Menurut beliau, bagi memperkukuh momentum ini, beberapa inisiatif utama perlu dilaksanakan termasuk transformasi digital menyeluruh dalam sektor keutamaan.
“Ini seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), logistik dan perkhidmatan professional, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam teknologi maju, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta bagi memperkukuh ekosistem inovasi,” ujarnya.-UTUSAN








