KUALA LUMPUR: Oriental Kopi Holdings Berhad (Oriental Kopi), pengendali rangkaian makanan dan minuman (F&B) terkenal, memperkukuhkan jenama dengan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Oriental Kopi kini memiliki 21 cawangan kafe di seluruh Malaysia dan Singapura, dengan 13 daripadanya telah memperoleh status halal, manakala lapan lagi sedang dalam proses mendapatkan pensijilan tersebut.
Jenama itu juga dalam usaha memastikan semua cawangannya memperoleh pensijilan halal, namun proses ini memerlukan masa yang panjang, termasuk tempoh operasi sekurang-kurangnya tiga bulan.
Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan Jian Chern berkata, Oriental Kopi telah menjalani proses garis panduan pensijilan halal yang ketat.
“Ini termasuk dokumentasi, semakan bahan dan audit premis yang memerlukan penyesuaian operasi seperti pengubahsuaian pembekal atau konfigurasi semula kemudahan.
“Prosesnya mengambil masa kira-kira tiga hingga empat bulan untuk setiap cawangan, tetapi pengalaman ini menjadikan kami lebih cekap dalam memastikan setiap cawangan dan produk mematuhi piawaian halal.
“Langkah ini bukan sekadar strategi perniagaan tetapi juga komitmen syarikat untuk menyediakan makanan yang inklusif dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jian Chern berkata, sehingga kini terdapat 31 produk berbungkus jenama mereka yang telah mendapat status halal bagi menyakinkan pelanggan lama dan baharu.
“Bagi saya, kelebihan utama selepas memiliki sijil halal adalah peningkatan kepercayaan pelanggan, terutamanya dalam kalangan pelanggan beragama Islam.
“Pensijilan halal juga membuka peluang kepada segmen pasaran yang lebih luas, termasuk pelanggan bukan Islam yang semakin menitikberatkan kualiti dan kebersihan makanan.
“Produk jenama Oriental Kopi yang telah disahkan halal kini boleh didapati di pasar raya utama seperti AEON, Mercato, dan Jaya Grocer,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, jenama itu kini bersedia memperluaskan operasinya ke luar negara dengan merancang pengembangan melalui francais atau kerjasama dengan rakan kongsi tempatan.
“Sijil halal menjadi pemacu utama untuk membuka pintu ke pasaran global. Ini memberikan keyakinan kepada pelanggan di negara asing terhadap produk dan perkhidmatan kami.
“Kami percaya sijil halal bukan sahaja penting untuk memenuhi keperluan pelanggan Islam, tetapi juga menjadi standard yang memastikan kualiti, kebersihan dan integriti produk kami diiktiraf di peringkat global,” katanya.
Jelasnya, pensijilan halal bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah merupakan pelaburan yang bijak dan patut diambil oleh semua pengusaha makanan dan minuman.
“la dapat meningkatkan daya saing perniagaan, meluaskan jangkauan pasaran, dan yang paling utama, membina kepercayaan pelanggan,” katanya.-UTUSAN










