PETALING JAYA: Proton melalui anak syarikat pengeluar kenderaannya, Pro-Net menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus untuk caj pengecasan awam bagi menyambut Tahun Baharu Cina dan meraikan penghantaran Proton e.MAS 7 yang pertama kepada pelanggan.
Menurut kenyataan, bermula 25 Januari hingga 3 Februari 2025, pemilik Proton e.MAS dan smart EV boleh menikmati tawaran istimewa itu di lebih daripada 80 peratus stesen pengecasan awam.
“Dengan hanya menggunakan aplikasi Proton e.MAS atau Hello smart untuk memulakan sesi pengecasan anda, potongan diskaun akan diberikan secara automatik.
“Proton e.MAS ingin menjadikan pemilikan kenderaan elektrik (EV) sesuatu yang mudah dan menyeronokkan. Dengan ciri pintar seperti kesediaan stesen pengecasan secara langsung dan perancangan laluan berdasarkan tahap bateri kereta anda, anda boleh memandu dengan penuh keyakinan.
“Hal ini menjadikan pengembangan yang signifikan dalam peta pengecasan kami kerana rangkaian pengecasan yang dikendalikan oleh Shell Recharge termasuk Stesen Pengecasan Berprestasi Tinggi sepanjang lebuh raya utama, dengan kebanyakan stesen mampu menyediakan kuasa pengecasan 180 kilowatt,” katanya.
Jelasnya, perkongsian dengan Shell Recharge telah menambah lebih banyak poin pengecasan di sepanjang lebuh raya dan kawasan tumpuan bandar, termasuk pengecasan pantas.
“Penambahan ini mengikuti integrasi terkini Rangkaian ChargeSini, di mana ia juga merupakan yang pertama di Malaysia dan boleh diakses melalui rangkain perayauan.
“Rangkaian pengecasan yang boleh diakses melalui aplikasi Proton e.MAS dan Hello smart termasuk Gentari, Jomcharge, chargEV, DC Handal, CarputZap dan ChargeSini. Proton e.MAS berbangga menjadi peneraju EV nasional pertama di Malaysia, dalam menggabungkan teknologi terbaik dengan kemudahan yang tiada tandingan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pro-Net turut meraikan tahun baharu 2025 dengan pemanduan jarak jauh pertama e.MAS 7 yang dikenali sebagai Weekend SPARK Media Drive ke bandar bersejarah Melaka.
“Dengan mempamerkan keupayaan kenderaan elektrik serba baharu Proton ini, pihak media dijemput untuk merasai sendiri teknologi canggih e.MAS 7 dan menilai prestasinya dalam keadaan jalan sebenar.
Katanya, ciri-ciri seperti unit pemanduan pintar 12-dalam-1 dan ADAS semi-autonomi Tahap 2 diuji di atas pelbagai jenis permukaan jalan termasuk jalan bandar, luar bandar, jalan sehala dan lebuh raya.
“Flag-off pada pagi itu dari PROTON Center of Excellence (COE) menandakan permulaan “e.MAS 7 Efficiency Challenge” dengan garisan penamat di salah sebuah pengedar Proton e.MAS di Melaka.
“Cabaran ini bertujuan untuk menilai pemanduan pengunaan bateri yang paling minima dalam mempamerkan pek bateri generasi baharu serta unit pemanduan dalam kedua-dua varian Prime dan Premium e.MAS 7,” katanya.-UTUSAN







