MEMAHAMI status hartanah kediaman adalah penting sebelum membuat pembelian kerana ia adalah satu daripada komitmen yang besar dalam kredit anda.
Status kediaman tersebut akan menentukan komitmen, kelebihan atau kekurangan yang perlu ditanggung oleh pemiliknya setelah pembelian dibuat kelak.
Ringgit pada minggu ini akan memberi sedikit pengenalan mengenai perbezaan hak milik strata dan indiviu.
Hak Milik Strata
Hak milik strata biasanya untuk hartanah dalam bangunan bertingkat seperti pangsapuri dan juga kondominium.
Ini biasanya bermakna bahawa tanah itu adalah milik pemilik hartanah iaitu pemaju kepada pembangunan tersebut.
Hak milik strata ialah hak milik individu berasingan yang dikeluarkan kepada unit rumah, pangsapuri atau pejabat dalam pembangunan yang berkongsi kemudahan bersama seperti komuniti berpagar dan berkawal, keselamatan, tempat letak kereta dan kemudahan yang ditadbir oleh pemilik bersama.
Oleh itu, pembeli rumah bagi hak milik strata biasanya perlu membayar yuran penyelenggaraan untuk kemudian yang digunakan secara bersama dengan penghuni daripada kediaman bertingkat yang sama.
Yuran penyelenggaraan tersebut biasanya dikira berdasarkan kadar yang ditetapkan dan dikalikan dengan keluasan kaki persegi kediaman anda.
Yuran penyelenggaraan ini penting bagi memastikan kemudahan seperti lif, kolam renang, gimnasium dan sebagainya terjaga dan berfungsi dengan baik sepanjang masa.
Hak Milik Individu
Hak milik individu biasanya dikeluarkan untuk hartanah bertanah seperti rumah semi-D, rumah teres dan banglo.
Status ini diberikan kepada pembeli apabila anda adalah satu-satunya pemilik sebidang tanah.
Oleh itu, kediaman seperti ini biasanya tidak mempunyai kos penyelenggaraan yang perlu dibayar setiap bulan.
Berkaitan tempoh hak milik ini pula, jika ia adalah harta pegangan kekal, hak milik individu tuan punya tanah dan hartanah adalah milik anda selama-lamanya.
Namun, jika hartanah pegangan pajakan, hak milik individu adalah milik anda bergantung kepada tempoh pajakan. Contohnya, jika pajakan selama 99 tahun, anda sama ada perlu memulangkan tanah tersebut kepada kerajaan negeri atau membayar premium lanjutan pajakan selepas tempoh ini tamat.
Bagii hartanah bumiputera pula, hak milik individu bergantung kepada terma dan syarat tanah (pegangan bebas atau pegangan pajakan).-UTUSAN










