PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania) melantik Darren Choy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk kumpulan FMCG Sedania (Sedania FMCG Group) berkuat dr kuasa semalam.
Sedania berkata, Darren berpengalaman luas sebagai seorang pemimpin transformasi dengan rekod prestasi cemerlang dalam jawatan-jawatan eksekutif tertinggi, termasuk sebagai Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, Pengarah Urusan Adidas Malaysia dan Singapura, Ketua Pegawai Pemasaran Lotus Racing F1 Team dan Pengarah Urusan EMI Music Malaysia.
“Pendekatan dinamik beliau terhadap transformasi organisasi, prestasi pasukan dan pertumbuhan holistik telah membuahkan hasil yang luar biasa secara konsisten termasuk meningkatkan keuntungan sebanyak 135 peratus dan pendapatan sebanyak 155 peratus semasa tempoh beliau di Warner Music Malaysia.
“Beliau juga memacu Adidas Malaysia untuk mengatasi pesaing terdekatnya, Nike dalam kejenamaan dan kepimpinan pasaran buat kali pertama dan mengukuhkan kedudukan EMI Music Malaysia dengan meningkatkan pegangan pasaran ke 21.5 peratus, menjadikannya sebagai peneraju industri muzik,” katanya dalam kenyataan.
Darren akan memimpin Kumpulan FMCG Sedania dan memainkan peranan penting dalam fasa pertumbuhan global yang seterusnya, membina asas kukuh yang telah dibentuk di bawah pimpinan Ng Hock Guan yang melepaskan jawatannya sebagai CEO Kumpulan atas sebab komitmen peribadi.
Pengerusi Kumpulan Sedania, Tun Raus Md. Sharif berkata, kepakaran, semangat dan kepimpinan berwawasan Darren akan mendorong Sedania ke arah pencapaian baharu, di samping mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai jenama ulung dalam sektor FMCG lestari.
“Rekod cemerlang beliau menjadikannya sebagai pemimpin yang ideal untuk menerajui Kumpulan FMCG Sedania ke babak yang lebih gemilang,” katanya.
Dengan sentimen yang sama, Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor turut menyatakan keterujaan dan keyakinan beliau terhadap pelantikan Darren.
“Pada tahun-tahun sebelumnya, kami telah membina asas kukuh dengan memberi fokus pada elemen inovasi, keupayaan rantaian bekalan serta memperkukuhkan sistem operasi dalaman kami.
“Kini, dengan kehadiran Darren di pucuk pimpinan, kami bersedia untuk memacu jenama-jenama FMCG kami di peringkat global,” katanya.
Jelasnya, pencapaian Darren sebelum ini sebagai Pengarah Urusan Adidas Malaysia dan Singapura, sebuah jenama gaya hidup berskala global adalah yang sejajar dengan aspirasi Offspring dan Tanamera sebagai pilihan utama para ibu, wanita dan keluarga yang mementingkan gaya hidup mampan di seluruh dunia.
“Apa yang benar-benar mengujakan saya adalah rekod cemerlang Darren dalam industri muzik yang amat kompetitif dengan rentak perubahan yang laju, khususnya sebagai Pengarah Urusan Warner Music di Malaysia dan Singapura.
“Walaupun industri muzik dikenali dengan persaingan sengit, perubahan citarasa pengguna dan evolusi teknologi yang pantas, Darren telah berjaya mengatasi cabaran-cabaran ini.
“Pencapaian ini memberi keyakinan besar kepada saya bahawa pandangan strategik dan kepakaran Darren dalam pemasaran global dan kejenamaan akan membawa Kumpulan FMCG Sedania ke tahap yang baharu,” katanya.-UTUSAN










