Suami isteri tinggalkan kerjaya tetap demi coklat 

Suami isteri tinggalkan kerjaya tetap demi coklat 

CHOCODAP'S menyasarkan untuk menghasilkan coklat bar dengan pembungkusan bertemakan identiti Negeri Sembilan pada tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN sinis seperti ‘Ada masa depan ke kalau kerja jual coklat?’ sering diajukan kepada pasangan suami isteri, Farhan Zainuddin dan May Sarah Nadiah yang nekad mengasaskan jenama Chocodap’s di bawah syarikat FS Mega World Sdn. Bhd.

Keputusan meninggalkan kerjaya tetap untuk menceburi dunia perniagaan coklat bukanlah langkah mudah. Namun, berbekalkan pengalaman dan semangat berniaga yang dipupuk sejak kecil, May Sarah yakin perniagaan itu mampu mengubah kehidupan mereka.  

“Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang berkongsi minat yang sama. Sebagai ibu kepada tiga anak, perjalanan kami bermula dengan pelbagai cabaran besar.

“Pada tahun-tahun awal, kami perlu membahagikan masa antara keluarga dan perniagaan supaya semuanya berjalam dengan lancar dan tiada yang tercicir. 

“Semua tugasan dilakukan sendiri, termasuk pemasaran, melayan tempahan pelanggan dan mengurus ejen, tetapi ruang rumah yang kecil menjadi cabaran utama apabila permintaan terhadap produk Chocodap’s semakin meningkat.  

“Hampir separuh ruang rumah dipenuhi timbunan kotak coklat, sehingga kami terpaksa berpindah ke sebuah rumah kedai di Ampang, yang dijadikan kilang pertama Chocodap’s pada 2017. Pada tahun sama, kami mula menggaji pekerja untuk membantu operasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.  

Beliau berkata, kini Chocodap’s terus berkembang dengan pembukaan kilang penyimpanan kedua di Sendayan, Negeri Sembilan pada 2019.

“Langkah pembukaan kilang kedua ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran produk Chocodap’s agar dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin tinggi.  

“Dalam masa yang sama, perniagaan Chocodap’s ini bukan sekadar menjual coklat, tetapi turut melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu mengubah kehidupan mereka sendiri,” katanya.  

May Sarah berkata, syarikat kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada strategi pemasaran langsung kepada pengguna akhir melalui platform digital seperti Shopee dan TikTok. 

“Aktiviti siaran langsung di kedua-dua platform dijalankan dari pagi hingga malam oleh pasukan khas. 

“Selain itu, lebih daripada 1,500 individu telah menyertai program affiliate syarikat, dengan 10 peratus daripadanya sudah mula mencatat jualan di TikTok,” katanya. 

Dalam pada itu, ujarnya, Chocodap’s kini membuka peluang kepada sekolah-sekolah untuk mengadakan lawatan ke ibu pejabat mereka.

“Program DIY coklat kami telah menjadi tarikan utama, dengan kehadiran maksimum melebihi 100 pelajar dalam satu sesi. Kami juga menyasarkan sekurang-kurangnya 20 lawatan sekolah setiap bulan pada masa akan datang. 

“Selain itu, kami juga sedang bekerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sembilan. Ini untuk menjadikan lokasi kami sebagai destinasi pelancongan. 

“Perancangan ini, termasuk menghasilkan coklat bar dengan pembungkusan bertemakan identiti Negeri Sembilan dan inisiatif ini dijangka dapat memperluas daya tarikan Chocodap’s pada tahun hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN