Sijil halal jadi asas kepercayaan pengguna produk All Kurma

Sijil halal jadi asas kepercayaan pengguna produk All Kurma

PENSIJILAN halal membuka peluang untuk All Kurma menembusi pasaran yang lebih besar termasuk pasar raya utama seperti Lotus’s, Mydin, AEON dan lain-lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sijil halal telah menjadi tonggak penting bagi All Kurma Sdn. Bhd. dalam memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap produk-produk keluaran mereka, khususnya dalam kalangan komuniti Islam di Malaysia. 

Bahagian Pemasaran dan Komunikasi All Kurma berkata, sejak memperolehnya pada 2015, sijil halal telah memastikan produk mereka mematuhi piawaian pemprosesan Islam. 

“Pensijilan halal bukan sekadar keperluan undang-undang bagi kami, tetapi satu langkah penting untuk memenuhi tanggungjawab sosial kepada pengguna. 

“Ia memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa produk kami dihasilkan dengan penuh integriti dan mematuhi standard halal yang ketat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Jelasnya, pensijilan halal terbukti menjadi satu faktor penting yang membantu All Kurma berkembang dengan pesat dalam pasaran tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pasaran di pasar raya utama seperti Lotus’s, Mydin, AEON dan lain-lain. 

“Dalam usaha menembusi lebih banyak pasaran, syarikat itu juga merancang untuk memperkukuh jenamanya di Malaysia Barat dan Timur. 

“All Kurma juga menyasarkan untuk meliputi pasaran lebih jauh hingga ke Malaysia Timur melalui penyediaan snek yang sihat, berpatutan dan mudah diperoleh,” katanya. 

Dalam pada itu, All Kurma turut menggalakkan syarikat-syarikat lain, terutama dalam sektor barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) untuk mendapatkan pensijilan halal ini. 

“Selain memberi kelebihan pemasaran, sijil halal merupakan komponen penting dalam tanggungjawab sosial korporat. 

“Pensijilan ini akan memastikan pelanggan menerima produk yang berkualiti tinggi, mematuhi standard halal dan memberikan keyakinan dalam aspek integriti dan keaslian produk,” katanya. 

Tambahnya, All Kurma turut menyertai  Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada tahun ini. 

“Ini merupakan tahun kedua kami menyertai MIHAS dan merasakan platform ini adalah peluang baik untuk memperkenalkan produk dan mendekati lebih ramai pembeli, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN