Ringgit diunjur mengukuh sekitar RM4.20 menjelang akhir 2025

Ringgit diunjur mengukuh sekitar RM4.20 menjelang akhir 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangkakan ringgit akan mencecah ke paras sekitar RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2025 disebabkan prospek ekonomi Malaysia yang baik. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan itu juga dilihat berikutan unjuran kadar dasar semalaan (OPR) yang bakal dikekalkan pada paras tiga peratus bagi tahun hadapan. 

“Ringgit mengukuh juga sebenarnya kebanyakannya disebabkan faktor luaran seperti dasar ekonomi Trump 2.0 dan juga prospek kadar faedah di AS yang mana penurunannya dijangka akan lebih perlahan, terutama apabila kadar inflasi masih lagi tinggi. 

“Ekonomi G7 pula, terutamanya di Eropah dilihat akan menurunkan kadar faedah disebabkan faktor pertumbuhan ekonomi yang lembab,” katanya kepada Utusan Malaysia

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, tahun depan, kekuatan ringgit akan bergantung kepada polisi perdagangan dan kadar faedah AS. 

“Jika AS melonggarkan pendekatan perdagangan dan terus menurunkan kadar faedah, ada kemungkinan ringgit akan mengukuh berbanding dolar AS. Sebaliknya, jika polisi ketat diteruskan, ringgit mungkin akan kembali melemah. 

“Untuk tahun depan, terdapat jangkaan bahawa ringgit mungkin akan terus mengukuh, dengan potensi mencapai RM4.12 seperti yang dicatatkan pada 30 September tahun ini. Jika ringgit berjaya turun sehingga RM4.00 pada 2025, ia akan menjadi pencapaian yang baik,” katanya. 

Mengulas mengenai prestasi ringgit terkini, ujarnya, mata wang tempatan ada menunjukkan pengukuhan kecil, tetapi belum mencapai tahap yang signifikan. 

“Berdasarkan pergerakan terkini, terdapat perubahan aliran pergerakkan yang kecil dengan kadar sebelumnya menurun daripada RM4.44 pada 7 Disember.

“Pada 4 Disember lalu, kadar pertukaran berada pada RM4.47 sebelum meningkat ke RM4.41 dan kini berada di tahap RM4.45, menunjukkan adanya aliran pengukuhan kecil sejak 14 November, dengan kadar purata sekitar RM4.45. 

“Beberapa penganalisis juga menjangkakan kadar ini akan kekal sehingga penghujung tahun,” katanya. 

Jelasnya, pengukuhan ringgit pada 30 September dan 1 November lalu disebabkan oleh beberapa faktor, terutamanya di AS. 

“Penurunan kadar faedah dan langkah-langkah dedolarisasi menjadi penyumbang utama. Namun, konsep dedolarisasi kini semakin pudar.  

“Donald Trump telah memberi amaran akan mengenakan tarif 100 peratus kepada negara yang menyokong blok BRICS dan berusaha meninggalkan penggunaan dolar AS. Langkah ini dijangka dapat memperkukuh dolar AS dalam jangka pendek sehingga akhir tahun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×