UMUM mengetahui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi semakin canggih terutama dalam perniagaan dalam talian di mana saban hari bilangan pembeli dalam talian kian meningkat.
Namun, kecanggihan teknologi tidak dapat sepenuhnya melindungi pembeli daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Perubahan jualan secara konvensional kepada medium jualan melalui e-dagang bukan sahaja semakin popular di Malaysia, malah keadaan ini turut meningkatkan kes penipuan jual beli dalam talian secara mendadak.
Disini ada panduan bagi mengelakkan anda ditipu.
Sekiranya penjual dalam talian menjual harga yang terlalu murah
Jika harga yang ditawarkan terlalu murah berbanding harga pasaran di tempat lain, maka perlulah berhati-hati.
Pembeli biasanya akan berasa teruja untuk membeli apabila melihat tawaran harga yang sangat murah. Sikap sebegini perlulah dielakkan dan sebagai pembeli, anda seharusnya berfikiran rasional dan tidak terburu-buru.
Buat kajian sebelum membeli
Sebelum membuat keputusan untuk membeli, anda perlu mengkaji selidik terlebih dahulu mengenai latar belakang penjual sama ada melalui saranan rakan yang pernah membeli atau membuat carian maklumat di enjin carian seperti Google untuk mengetahui maklumat asas penjual seperti nama penuh penjual atau nama syarikat, alamat perniagaan, nombor telefon dan e-mel, profil laman sosial, Facebook atau laman web.
Teliti produk sebelum membeli
Gambar produk adalah tarikan utama pembeli dalam membuat keputusan pembelian. Senjata utama scammer adalah dengan memaparkan gambar yang menarik dan cantik.
Oleh itu, pembeli juga perlu meneliti adakah gambar yang dipaparkan itu produk tiruan ataupun asli.
Hanya membuat pembayaran selepas menerima barang
Ini cara paling selamat bagi memastikan barangan yang dijual itu adalah betul.
Salah satu cara yang untuk mengelakkan penipuan adalah dengan membuat bayaran setelah menerima barang yang dipesan secara bersemuka (COD-Cash on Delivery) ataupun dalam talian.
Pembayaran secara bersemuka boleh dilakukan sekiranya lokasi penjual dan pembeli tidak jauh.
Sentiasa lihat ‘rating’ penjual
Hampir keseluruhan platform e-dagang mempunyai sistem rating dan ulasan daripada pembeli. Ia adalah penting sebagai penanda aras untuk membuat penilaian serta keputusan pembelian produk berdasarkan kepada maklum balas pembeli lain.
Sebagai contoh apabila anda melihat ramai pembeli memberi komen yang negatif serta rating yang rendah terhadap seseorang penjual, maka anda haruslah bijak membuat keputusan kerana sama ada penjual tersebut boleh dipercayai atau sebaliknya.
Sekiranya membeli barangan luar negara elakkan beli di platfrom meragukan
Elakkan dari memberikan maklumat berkenaan akaun bank anda serta membuat terus bayaran.
Penjual yang menipu akan memberi pelbagai alasan kepada anda sekiranya barang yang dipesan tidak dapat dihantar dan terdapat pula kes penipuan di mana scammer yang meminta bayaran lebih untuk menampung kos melepaskan barang yang ditahan oleh pihak kastam yang belum pasti wujud dan sebagainya.
Proses untuk mengambil tindakan amat rumit sekiranya anda membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana ia melibatkan urus niaga luar negara.
Lindungi maklumat peribadi
Jangan kongsi maklumat peribadi anda pada orang lain. Ia termasuk maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan, nombor PIN, kata laluan dan nombor TAC.
Ingat, jangan tulis nombor PIN anda di tempat yang mudah diakses orang lain.
Jangan mudah terpedaya
Pastikan anda bukan jenis mudah terpedaya terutama dengan jualan atau produk yang nampak unik di media sosial.
Berkemungkinan penjual menggunakan profil atau produk penjual lain untuk menarik perhatian anda.-UTUSAN










